
Sebuah kapal tangki minyak Malaysia yang membawa muatan bahan bakar mentah Iraq telah melalui Selat Hormuz berhampiran pesisir pantai Iran, sehari selepas negara itu menyatakan pengecualian Iraq daripada sebarang sekatan transit di laluan berkenaan, menurut data LSEG dan Kpler.
Kapal Ocean Thunder yang membawa muatan kira-kira 1 juta tong minyak mentah Basrah Heavy pada 2 Mac itu dijangka akan tiba di Pengerang, Johor pada pertengahan April, lapor data Kpler.
Menurut data, kapal tangki tersebut disewa oleh Petco, sebuah unit di bawah Petronas yang merupakan antara tujuh kapal Malaysia yang dibenarkan melalui Selat Hormuz oleh Iran, menurut sumber Reuters yang enggan dikenali.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Iran akan membenarkan kapal-kapal Malaysia melalui selat tersebut selepas mengadakan perbincangan dengan pegawai negara berkenaan.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan kemudiannya berkongsi terdapat tujuh kapal Malaysia termasuk Petronas, Vantris Energy dan MISC sedang menunggu pelepasan untuk merentasi laluan air tersebut.
Iran menutup Selat Hormuz yang merupakan sebuah koridor yang membawa kira-kira satu perlima daripada aliran minyak dan gas asli cecair (LNG) global. Ia sebagai tindak balas kepada serangan udara Amerika dan Israel yang bermula pada akhir Februari.
Iran kemudiannya menyatakan akan membenarkan kapal-kapal yang tidak mempunyai kaitan dengan Amerika atau Israel untuk melalui Selat Hormuz.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, tiga kapal tangki kendalian Oman, sebuah kapal kontena milik Perancis dan sebuah kapal pengangkut gas milik Jepun telah merentasi selat tersebut.
Malaysia menyatakan Iran membenarkan kapal-kapal milik negara melalui selat itu tanpa membayar sebarang tol. Sebelum ini, Iran menyatakan bakal mengenakan yuran ke atas kapal yang belayar melalui laluan air tersebut.































