
Harga minyak dunia melonjak lebih tiga peratus pada Isnin, dengan minyak mentah Brent menembusi paras USD90 (RM366.32) setong buat kali pertama dalam tempoh lebih sebulan susulan peningkatan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang menjejaskan penghantaran tenaga melalui Selat Hormuz.
Kontrak niaga hadapan Brent meningkat USD2.69 (RM10.95), atau 3.05 peratus, kepada USD90.79 (RM369.53) setong setakat jam 11.43 malam GMT, selepas mencecah paras tertinggi sejak 11 Jun. Minggu lalu, Brent melonjak 15.9 peratus, kenaikan mingguan terbesar sejak April.
Sementara itu, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS naik USD2.19 (RM8.91), atau 2.65 peratus, kepada USD84.68 (RM344.66) setong, iaitu paras tertinggi sejak 12 Jun. WTI turut mencatatkan kenaikan mingguan sebanyak 15.5 peratus minggu lalu, yang terbesar sejak awal Mac.
Konflik di Asia Barat terus memuncak hujung minggu lalu apabila AS melancarkan serangan untuk malam kesembilan berturut-turut ke atas Iran, manakala sekutunya, Kuwait dan Bahrain, turut melaporkan serangan baharu oleh Iran.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kedua-dua pihak turut menyasarkan laluan perkapalan. AS memaklumkan ia menguatkuasakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran, manakala Iran pula menyatakan ia menyasarkan kapal yang didakwa melanggar peraturan pelayaran negara itu di Selat Hormuz.
Selat Hormuz lazimnya mengendalikan kira-kira satu perlima daripada perdagangan minyak dunia, menjadikan sebarang gangguan di laluan strategik itu memberi kesan langsung kepada bekalan tenaga global.
Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) turut memaklumkan sebuah kapal dilaporkan terbakar di barat laut Kumzar, Oman, awal pagi Isnin.
Penganalisis Barclays, Amarpreet Singh berkata, beberapa hari dan minggu akan datang akan memberi gambaran lebih jelas mengenai tahap mampan eksport minyak dari rantau berkenaan susulan sekatan oleh kedua-dua pihak.
“Ketika ini, kami berpandangan pasaran minyak masih terlalu mengambil mudah potensi kesan terhadap inventori, yang kini berada pada paras paling ketat dalam tempoh lima tahun berbanding ketika permulaan konflik,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Data LSEG menunjukkan hanya empat kapal melalui Selat Hormuz pada Ahad, berbanding lapan kapal sehari sebelumnya. Sejak Jumaat lalu, sekurang-kurangnya tiga kapal tangki produk petroleum dan sebuah kapal tangki minyak mentah bersaiz sangat besar (VLCC) memasuki selat berkenaan untuk memuatkan minyak.





