
Tiga wanita yang melakukan aksi “Superman” ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kuantan selepas video mereka tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata susulan hebahan dan maklumat yang diterima individu tersebut tampil ke Balai Polis Trafik Kuantan bagi membantu siasatan.
“Hasil soal siasat mendapati ketiga-tiga penunggang motosikal berkenaan akhirnya mengaku terbabit dalam aksi berbahaya yang dirakam dalam video tular tersebut sebelum mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Susulan tangkapan itu, polis turut merampas tiga buah motosikal Yamaha LC135 bagi membantu siasatan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk meraih perhatian dengan melakukan aksi yang melanggar undang-undang. Jalan raya bukan tempat untuk berlumba dan menunjukkan keberanian, sebaliknya perlu digunakan secara berhemah dan bertanggungjawab.
“Orang ramai diminta untuk terus menyalurkan maklumat sekiranya melihat aktiviti mencurigakan atau perlumbaan haram agar tindakan segera dapat diambil demi menjamin keselamatan semua,” tegasnya.
Polis akan terus mempertingkatkan operasi bagi memastikan setiap pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan menjadi pengguna yang bertanggungjawab.
































