Utama Berita Automotif Selat Hormuz Tutup : Harga minyak melonjak, Trump ancam serang Iran

Selat Hormuz Tutup : Harga minyak melonjak, Trump ancam serang Iran

101

Harga minyak dunia mencatatkan kenaikan pada Isnin selepas aktiviti perkapalan melalui Selat Hormuz dilaporkan perlahan.

Pada masa sama, pertemuan pertama rundingan antara pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Iran di bawah perjanjian damai sementara bermula dengan langkah yang hambar.

Niaga hadapan minyak mentah Brent melonjak 54 sen atau 0.67%, kepada USD81.11 setong pada jam 0030 GMT, selepas sempat mencecah paras tertinggi USD82.30 pada permulaan dagangan.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS pula berada pada paras USD78.62 setong, naik ISD2.02 atau 2.64% menjelang tamat tempoh kontrak pada Isnin.

Kontrak bulan Ogos yang lebih aktif meningkat sebanyak USS1.43 kepada USD77.28 setong. Tiada penyelesaian dalam pasaran AS pada Jumaat lalu bersempena dengan cuti umum.

Data perkapalan menunjukkan jumlah kapal yang melalui Selat Hormuz turun mendadak pada Ahad selepas Iran mengumumkan telah menutup semula laluan air tersebut, atas dakwaan bahawa Israel dan AS telah melanggar perjanjian damai sementara.

“Jangkaan pasaran terhadap pembukaan semula Selat tersebut adalah terlalu awal.

“Iran berkemungkinan besar akan terus mencari helah untuk menyekat aliran trafik melalui Selat itu, memandangkan ia merupakan satu-satunya platform pengaruh mereka menjelang pilihan raya pertengahan penggal yang tidak akan dilepaskan begitu sahaja,” kata Ketua Penyelidikan Tenaga MST Marquee, Saul Kavonic.

Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk menyambung semula serangan ke atas Iran walaupun Naib Presiden AS, JD Vance telah bertemu dengan pegawai Iran pada Ahad bagi memulakan rundingan pertama di bawah perjanjian damai sementara.

Sebaliknya, Tehran mendakwa AS gagal memenuhi komitmennya untuk menghentikan pertempuran di Lubnan.

Serangan Israel di Lubnan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang pada Sabtu, lapor agensi berita rasmi Lubnan, NNA.

Insiden itu berlaku hanya sehari selepas gencatan senjata dengan Hezbollah berkuat kuasa, yang bertujuan untuk menghentikan keganasan yang semakin meningkat sejak beberapa bulan lalu.

“Situasi di Lubnan terus menimbulkan ancaman serius yang berterusan terhadap rancangan gencatan senjata dan pembukaan semula Selat tersebut,” kata Penganalisis Pasaran IG, Tony Sycamore, dalam satu nota ringkas.

Pun begitu, harga minyak telah merosot lebih 8% pada minggu lalu susulan jangkaan peningkatan bekalan daripada pelepasan kargo yang sebelum ini terkandas di dalam kawasan Teluk, serta potensi penarikan balik sekatan AS terhadap minyak Iran sebagai sebahagian daripada perjanjian AS-Iran.

Lebih daripada 25 juta tong minyak Iran telah melepasi garisan sekatan maya sejak Isnin, kata Ketua Syarikat Minyak Kebangsaan Iran, Hamid Bovard, kepada stesen TV rasmi negara itu pada Ahad.

Dalam pada itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, dan Iraq dilaporkan telah menawarkan lebih banyak bekalan minyak kepada pelanggan mereka sepanjang minggu lalu.

Iraq merancang untuk memulakan semula pengeluaran minyak mentah secara berperingkat kepada antara 4.2 juta hingga 4.3 juta tong sehari, menurut kenyataan Timbalan Menteri Minyak Iraq bagi Urusan Huluan pada Ahad.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here