
Mercedes-Benz Malaysia meletakkan harapan tinggi terhadap model C-Class elektrik serba baharu sebagai pemacu utama pertumbuhan jenama itu dalam segmen kenderaan elektrik (EV) premium tempatan.
Model C 300 4MATIC electric AMG Line Plus kini dibuka untuk pra-tempahan pada harga anggaran bermula RM360,888, dengan pelancaran rasmi dijadualkan pada awal 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia, Martin Schulz berkata, syarikat tidak mendedahkan sasaran jualan khusus, namun yakin model itu akan mendapat sambutan seiring perkembangan pesat segmen EV.
“Kami melihat potensi besar dalam segmen ini yang semakin berkembang, justeru pengenalan model elektrik ini melengkapkan pilihan rangkaian kuasa untuk pelanggan kami,” katanya.
Mercedes-Benz akan terus menawarkan pilihan enjin pembakaran dalaman (ICE), plug-in hybrid (PHEV) dan elektrik sepenuhnya (EV) bagi memenuhi keperluan serta gaya hidup pelanggan yang berbeza.
Untuk pasaran Malaysia, varian C 300 4MATIC dipilih berdasarkan kajian terhadap kehendak pelanggan, manakala varian C 400 belum dirancang buat masa ini.
Dari segi prestasi, model itu menghasilkan 310kW (421hp) dan tork 800Nm, memecut 0-100 km/j dalam 4.5 saat.
Bateri 85kWj pula menawarkan jarak pemanduan sehingga 690km (WLTP).
Pada peringkat awal, C-Class elektrik ini akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jerman sebelum beralih kepada pemasangan tempatan (CKD) apabila operasi pengeluaran dipertingkatkan.
Pelancaran versi elektrik dan ICE baharu juga dijangka berlangsung pada tempoh berbeza.
Mercedes-Benz turut mengesahkan komitmen untuk terus melabur dan memperluaskan operasi pengeluaran di Pekan, Pahang — kilang pemasangan tempatannya sejak 2004.
Sejarah pemasangan kenderaan Mercedes-Benz di Malaysia sebenarnya bermula sejak 1968.
GALERI :




































