Utama Berita Automotif Mercedes-AMG CLE 646 Spezialanfertigung: Coupe V8 yang padu, 30 unit habis sebelum...

Mercedes-AMG CLE 646 Spezialanfertigung: Coupe V8 yang padu, 30 unit habis sebelum pelancaran rasmi!

1

Mercedes-AMG memperkenalkan CLE 646 Spezialanfertigung, sebuah coupe berprestasi tinggi yang dibangunkan dengan fokus khusus terhadap dinamik pemanduan.

CLE 646 Spezialanfertigung merupakan model kedua dalam siri Mythos Mercedes-Benz selepas Mercedes-AMG PureSpeed.

Setiap unit berasaskan platform CLE 53 dan dihasilkan semula di Affalterbach dengan pelbagai perubahan pada rangka, sistem rangkaian kuasa, suspensi, aerodinamik dan ruang kabin.

Satu yang menarik, hanya 30 unit akan dihasilkan dan kesemuanya sudah habis ditempah sebelum pelancaran rasmi.

Enjin V8 Biturbo 646 PS

Mercedes-AMG CLE 646 Spezialanfertigung menggunakan enjin AMG M177 EVO V8 4.0 liter biturbo yang menghasilkan 646 PS dan 850 Nm.

Tork maksimum tersedia antara 2,500 hingga 4,500 rpm. Kelajuan model ini mencecah 310 km/j dengan pacuan roda belakang.

Antara ciri utama enjin:

  • Aci engkol flat-plane untuk mengurangkan jisim berputar dan meningkatkan respons enjin.
  • Tiga litar penyejukan berasingan.
  • Sistem ekzos berprestasi tinggi dengan reka bentuk cold-end hasil kerjasama bersama Akrapovič.
  • Penggunaan titanium pada sistem ekzos bagi membantu mengurangkan berat.

Sistem AMG Performance 4MATIC+ pada model asas dibuang dan digantikan dengan pacuan roda belakang.

Ia turut menggunakan pembeza gelinciran terhad belakang yang dikawal secara elektronik.

Kuasa disalurkan melalui transmisi AMG SPEEDSHIFT TCT 9G sembilan kelajuan.

Sistem Launch Control pula disesuaikan dengan konfigurasi pacuan roda belakang.

Prestasi:

  • 0-100 km/j: 3.9 saat
  • 0-200 km/j: 11.4 saat
  • 0-300 km/j: 36.8 saat (Track) / 36.2 saat (Street)

Suspensi Coilover Empat Hala

CLE 646 Spezialanfertigung menggunakan suspensi coilover keluli yang dibangunkan bersama KW Automotive.

Penyerap hentak empat hala membolehkan tetapan lantunan dan mampatan pada kelajuan rendah serta kelajuan tinggi dilaraskan secara berasingan.

Tetapan ini membolehkan suspensi disesuaikan mengikut gaya pemanduan, karakter litar, pilihan pemandu dan kegunaan kenderaan.
 

Ketinggian badan turut direndahkan sebanyak 22 mm di bahagian hadapan dan 16 mm di bahagian belakang.

Badan Lebih Lebar dan Ringan

Badan CLE 646 Spezialanfertigung diubah secara menyeluruh bagi meningkatkan kekakuan struktur dan dinamik pemanduan.

Lebar badan bertambah 60 mm di bahagian hadapan dan belakang.

Penggunaan gentian karbon merangkumi:

  • Fender hadapan dengan salur udara.
  • Bampar hadapan.
  • Panel sisi.
  • Bonet.
  • Bumbung.
  • Bampar belakang dengan penyebar.
  • Penutup but.
  • Sayap belakang boleh dilaras secara manual.

Cermin sisi belakang dan cermin belakang pula menggunakan polikarbonat.

Bateri pemula 12 volt yang lebih ringan turut membantu mengurangkan berat keseluruhan.

Hasil daripada pendekatan binaan ringan ini, berat dikurangkan kira-kira 170 kg berbanding model asas.

Dua Tempat Duduk

Bahagian dalaman turut menjalani proses pengurangan berat.

Tempat duduk belakang dan bahan penebat bunyi dibuang. Sistem audio dipermudahkan dan beberapa ciri keselesaan serta mod pemanduan turut dikurangkan.

Bahagian dalaman dilengkapi:

  • Kerusi perlumbaan ringan dengan sokongan sisi tinggi.
  • Palang keselamatan (Roll-over bar).
  • Panel pintu gentian karbon.
  • Stereng AMG Performance berkemasan mikrofiber DINAMICA.
  • Tali pinggang keselamatan enam sudut sebagai sebahagian daripada pakej Performance.

Rim 20 Inci dan Tayar Lebar

Badan yang lebar memberikan ruang untuk penggunaan rim AMG Performance tempaan yang lebih besar.

Ukuran rim dan tayar:

  • Hadapan: 11.0 J x 20, tayar 305/30 ZR20
  • Belakang: 12.0 J x 20, tayar 335/30 ZR20

Reka bentuk tayar tersebut menggunakan teknologi yang dibangunkan daripada Mercedes-AMG ONE dan eksklusif untuk CLE 646 Spezialanfertigung. 

Brek Karbon Seramik

Sistem brek AMG Ceramic High-Performance Composite digunakan untuk menahan beban tinggi termasuk penggunaan di litar.

Di hadapan, model ini dilengkapi cakera brek seramik berukuran 420 x 40 mm dengan angkup enam omboh.

Bahagian belakang pula menggunakan cakera 360 x 32 mm dengan angkup satu omboh.

Sistem penyejukan brek turut dibangunkan khusus dengan salur udara pada bampar hadapan dan elemen pengarah aliran udara.

Aerodinamik Untuk Kegunaan Litar

Sistem aerodinamik terdiri daripada penyebar hadapan, liang pada fender, kemasan bahagian bawah badan dan sayap belakang.

Penyebar hadapan boleh dilaraskan secara manual kepada dua kedudukan iaitu Street dan Race.

Kedudukan Race direka khusus untuk penggunaan di litar. Reka bentuk penyebar menghasilkan kesan Venturi bagi meningkatkan daya tekan pada gandar hadapan.

Bahagian tengah sayap belakang gentian karbon juga boleh dilaraskan secara manual untuk menambah daya tekan pada gandar belakang.

Keseluruhan pakej aerodinamik menghasilkan lebih daripada 250 kg daya tekan pada kelajuan maksimum.

AMG TRACTION CONTROL

Untuk kegunaan di litar dengan ESP dimatikan, AMG TRACTION CONTROL membolehkan tahap gelinciran roda belakang dilaraskan kepada sembilan tahap.

Sistem ini membolehkan pemandu menentukan tahap bantuan mengikut suhu tayar dan sejauh mana mereka mahu menghampiri had cengkaman.

Dalam usaha menghasilkan pengalaman pemanduan lebih terus, beberapa ciri keselesaan dan bantuan turut dibuang.

Antaranya ialah sistem bantuan parkir PARKTRONIC.

Model Mythos Kedua, Hanya 30 Unit

CLE 646 Spezialanfertigung ialah model kedua dalam siri Mythos Mercedes-Benz.

Model pertama ialah Mercedes-AMG PureSpeed yang dihadkan kepada 250 unit.

CLE 646 pula jauh lebih terhad dengan hanya 30 unit untuk seluruh dunia.

Walaupun dibenarkan digunakan di jalan raya, model ini dibangunkan dengan fokus kuat terhadap penggunaan di litar dan pengalaman pemanduan yang lebih terus.

Semua 30 unit juga telah habis ditempah sebelum ia diperkenalkan kepada umum.

Spesifikasi Mercedes-AMG CLE 646 Spezialanfertigung

  • Enjin: V8 4.0 liter biturbo dengan ISG
  • Kuasa: 646 PS
  • Tork: 850 Nm
  • Kuasa ISG: 23 PS (17 kW)
  • Tork ISG: 205 Nm
  • 0-100 km/j: 3.9 saat
  • 0-200 km/j: 11.4 saat
  • 0-300 km/j: 36.8 saat (Track) / 36.2 saat (Street)
  • Kelajuan maksimum: 310 km/j
  • Transmisi: AMG SPEEDSHIFT TCT 9G
  • Pacuan: Roda belakang
  • Agihan berat depan/belakang: 56/44
  • Panjang: 4,949 mm
  • Lebar: 1,987 mm
  • Tinggi: 1,420 mm
  • Jarak roda: 2,875 mm
  • Rim depan/belakang: 11.0 J x 20 / 12.0 J x 20
  • Tayar depan/belakang: 305/30 ZR20 / 335/30 ZR20
  • Berat (kerb): 1,895 kg

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here