Utama Berita Automotif Mercedes-AMG GT 4-Door Coupé, kuasa sama garang dengan rupa depan

Mercedes-AMG GT 4-Door Coupé, kuasa sama garang dengan rupa depan

4

Mercedes-AMG memperkenalkan GT 4-Door Coupé yang membuka era baharu untuk model prestasi tinggi elektrik jenama itu. 

Dibangunkan menggunakan platform AMG.EA, model empat pintu ini menggabungkan kuasa ekstrem, prestasi berterusan, teknologi Formula 1 dan pengalaman pemanduan tipikal AMG dalam pakej grand tourer (GT) berprestasi tinggi.

Model ini juga menjadi kenderaan produksi elektrik pertama AMG yang menggunakan teknologi motor elektrik axial flux.

Tiga motor digunakan, terdiri daripada dua unit di gandar belakang dan satu di hadapan, digabungkan bersama bateri prestasi tinggi 800 volt dengan sistem penyejukan terus untuk setiap sel silinder.

Dua varian ditawarkan ketika pelancaran iaitu Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé dan Mercedes-AMG GT 55 4-Door Coupé.

Kuasa sehingga 1,169PS, 0-100km/j sepantas 2.1 saat

Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé menghasilkan kuasa maksimum sehingga 860kW (1,169 PS) dan tork 2,000Nm menerusi sistem AMG Performance 4MATIC+.

Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 2.1 saat dengan 1-foot rollout, manakala 0-200 km/j hanya memerlukan 6.4 saat.

Kelajuan maksimum pula mencecah 300 km/j dengan pillihan Driver’s Package.

GT 55 4-Door Coupé pula menghasilkan 600kW (816 PS) dan 1,800Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 2.5 saat serta 0-200 km/j dalam 8.7 saat menggunakan ukuran 1-foot rollout.

Mercedes-AMG menyatakan seni bina AMG.EA sebenarnya direka untuk menyokong output melebihi 1,000kW pada masa depan.

Teknologi motor axial flux pertama untuk EV AMG produksi

Teknologi motor axial flux dibangunkan oleh YASA, syarikat milik penuh Mercedes-Benz sejak 2021.

Berbeza dengan motor elektrik konvensional, aliran elektromagnet dalam motor axial flux bergerak selari dengan paksi putaran motor.

Reka bentuk ini menggunakan dua rotor yang mengapit stator dalam konfigurasi seperti sandwic.

Kelebihannya ialah saiz lebih kompak, kuasa berterusan lebih tinggi, ketumpatan kuasa lebih tinggi dan keupayaan menghasilkan tork besar secara konsisten.

Motor depan hanya sekitar sembilan sentimeter lebar, manakala dua motor belakang masing-masing sekitar lapan sentimeter.

Motor belakang dipasang dalam unit HP.EDU bersama transmisi planet satu kelajuan, inverter silikon karbida (SiC), sistem penyejukan minyak dan unit kawalan hidraulik.

Motor depan pula bertindak sebagai booster motor dan boleh diputuskan secara automatik menerusi sistem Disconnect Unit untuk mengurangkan kehilangan tenaga ketika pemanduan santai.

Kelajuan maksimum putaran motor belakang melebihi 13,000 rpm, sementara motor depan melebihi 15,000 rpm.

Bateri AMG HP.EB diinspirasikan Formula 1

Bateri AMG High Performance Electric Battery dibangunkan berdasarkan pengalaman daripada Mercedes-AMG ONE dan perlumbaan Formula 1 bersama Mercedes-AMG High Performance Powertrains di Brixworth, England.

Bateri 800 volt itu menggunakan 2,660 sel silinder jenis tinggi dan tirus dengan ukuran 105 mm tinggi serta diameter 26 mm.

AMG menjelaskan bentuk itu membantu pelesapan haba lebih pantas kerana jarak antara teras sel dan permukaan lebih pendek.

Setiap sel menggunakan teknologi full-tab yang menghubungkan keseluruhan permukaan terminal bagi mengurangkan rintangan dalaman dan meningkatkan prestasi pengecasan serta nyahcas.

Kimia sel menggunakan NCMA iaitu nikel, kobalt, mangan dan aluminium bersama anod silikon, menawarkan ketumpatan tenaga lebih 298Wh/kg atau 732Wh/l.

Sistem penyejukan terus untuk setiap sel bateri

Tumpuan utama AMG bukan sekadar kuasa puncak tetapi prestasi berterusan dalam tempoh lama.

Setiap sel bateri disejukkan secara terus menggunakan cecair khas berasaskan minyak yang tidak mengalirkan elektrik.

Cecair itu mengelilingi setiap sel secara individu bagi memastikan suhu sentiasa optimum.

18 modul bateri plastik dikimpal menggunakan laser dan disambungkan dengan saluran penyejukan khas bagi memastikan semua sel menerima penyejukan sekata.

AMG turut menggunakan sensor maya dalam sistem pengurusan bateri bagi mengira suhu dalaman sel menggunakan model matematik tanpa bergantung kepada sensor fizikal.

Sistem penyejukan bateri ini mampu mencapai kapasiti penyejukan sekurang-kurangnya 20kW, jauh lebih tinggi berbanding sistem bateri biasa sekitar 5 hingga 8kW.

Cas ultra pantas 600kW, 10 minit tambah lebih 460km

Mercedes-AMG GT 4-Door Coupé menyokong pengecasan DC sehingga 600kW dengan arus melebihi 800 ampere.

Dengan pengecas pantas bersesuaian seperti Alpitronic, bateri boleh dicas untuk menambah sekitar:

  • 460 km jarak perjalanan dalam 10 minit untuk GT 63
  • 462 km untuk GT 55

Pengecasan 10 hingga 80 peratus pula hanya memerlukan 11 minit. Model ini turut menyokong pengecasan CCS2, CCS1, NACS, CHAdeMO dan GB/T.

Sistem juga boleh bertukar antara pengecasan 800 volt dan 400 volt bergantung kepada infrastruktur.

AMGFORCE Sport+, pengalaman V8 dalam EV

Mercedes-AMG turut membangunkan pengalaman pemanduan khas untuk peminat enjin V8 menerusi mod AMGFORCE Sport+.

Mod itu menghasilkan bunyi V8 AMG lengkap dengan simulasi pertukaran gear, gangguan cengkaman ketika penukaran gear dan respons seperti transmisi AMG SPEEDSHIFT.

AMG menggunakan lebih 1,600 fail bunyi untuk menghasilkan pengalaman audio masa nyata mengikut gaya pemanduan.

Sistem itu turut menghasilkan bunyi khas ketika membuka kunci, memasuki kenderaan, mengunci kereta dan proses pengecasan.

Launch Control, Boost dan Showtime Mode juga akan ditawarkan kemudian.

AMG RACE ENGINEER untuk talaan pemanduan lebih agresif

Sistem AMG RACE ENGINEER mengawal keseluruhan pengurusan pemanduan dan prestasi model ini.

Tiga tombol khas pada konsol tengah membolehkan pemandu melaras respons pendikit, karakter selekoh serta tahap cengkaman dan gelinciran.

Agility Control membolehkan karakter kereta berubah daripada sedikit understeer sehingga controlled oversteer.

Kawalan Cengkaman pula menawarkan sembilan tahap kawalan gelinciran.

Suspensi AMG ACTIVE RIDE CONTROL

GT 4-Door Coupé menggunakan suspensi udara AMG ACTIVE RIDE CONTROL dengan sistem kawalan olengan semi aktif.

Sistem hidraulik itu menggantikan bar anti-oleng konvensional dan menghubungkan penyerap hentak secara hidraulik untuk mengurangkan olengan badan ketika mengambil selekoh.

Suspensi juga menggunakan takungan tekanan 8.2 liter bagi membolehkan pelarasan ketinggian badan dilakukan dengan pantas mengikut kelajuan.

Ketika pemanduan lurus, sistem boleh dibuka sepenuhnya untuk meningkatkan keselesaan.

Stereng gandar belakang aktif sehingga 6 darjah

Stereng gandar belakang aktif membantu meningkatkan kelincahan dan kestabilan.

Pada kelajuan bawah 80km/j, roda belakang membelok bertentangan dengan roda depan untuk mengurangkan radius pusingan dan meningkatkan kelincahan.

Melebihi 80km/j, roda belakang membelok sehala dengan roda depan untuk meningkatkan kestabilan kelajuan tinggi.

Sudut belokan maksimum roda belakang ialah sehingga enam darjah.

Sistem aerodinamik aktif lebih agresif

Model ini menggunakan beberapa teknologi aero aktif baharu seperti AEROKINETICS Venturi Flow, difuser belakang aktif AEROKINETICS, spoiler belakang aktif dan sistem Airpanel aktif.

Dua elemen Venturi di bahagian bawah badan akan diturunkan secara automatik pada 120 km/j di bahagian depan dan 140 km/j di bahagian tengah.

Spoiler belakang pula berubah posisi mengikut keadaan pemanduan bagi meningkatkan kestabilan atau mengurangkan seretan angin.

Sistem Airpanel menggunakan bilah menegak yang dibuka mengikut keperluan penyejukan bateri dan motor.

Rekaan lebih rendah dan lebih agresif

Berbanding model terdahulu, GT 4-Door Coupé baharu direka empat sentimeter lebih rendah walaupun menggunakan bateri bawah lantai.

Bahagian depan menampilkan gril AMG baharu dengan rekaan cekung serta pilihan pencahayaan.

Lampu utama menggunakan DRL grafik bintang, manakala belakang menampilkan enam lampu bulat rekaan turbin bersama grafik bintang.

Rekaan fastback, hud panjang, badan lebar dan diffuser belakang besar menyerlahkan karakter sport model ini.

Rim aero bantu tambah jarak perjalanan

Pilihan rim terdiri daripada unit 19 hingga 21 inci termasuk rim aero khas.

Rim aero 21 inci mampu menambah sehingga 14km jarak WLTP, manakala tayar aero boleh menambah sehingga 30km lagi.

Suspensi udara juga akan merendahkan badan dalam dua tahap mengikut kelajuan bagi mengurangkan seretan angin.

Kabin fokus pemandu dan teknologi digital

Kabin direka dengan posisi duduk rendah seperti model sport AMG dua pintu.

Paparan utama terdiri daripada kluster instrumen 10.2 inci, monitor multimedia 14 inci dan paparan penumpang 14 inci sebagai pilihan.

Ketiga-tiga paparan menggunakan rekaan seamless-glass.

Ventilasi bulat dengan rekaan chain-link turut mempunyai pencahayaan suasana pelbagai warna.

Konsol tengah pula menempatkan tiga tombol AMG RACE ENGINEER dengan rekaan diinspirasikan ventilasi udara.

Kerusi sport dan stereng AMG Performance

Tempat duduk depan baharu menawarkan sokongan sisi tinggi ketika mengambil selekoh.

Pelanggan juga boleh memilih AMG Performance Seat dengan perehat kepala terbina dalam dan bukaan khas pada bahagian belakang.

Stereng AMG Performance menggunakan rekaan bawah rata bersama butang OLED bulat AMG.

Pemandu boleh melaras tahap regeneratif menggunakan pedal di belakang stereng.

Bumbung SKY CONTROL dengan pencahayaan AMG

Bumbung panoramik SKY CONTROL boleh berubah antara lut sinar dan gelap menggunakan segmen kawalan individu.

Pada waktu malam, sistem ini boleh memaparkan logo AMG bercahaya dan jalur grafik perlumbaan.

Bumbung ini menggunakan kaca keselamatan berlamina dengan salutan inframerah serta LowE bagi mengurangkan haba di dalam kabin.

Untuk sesetengah pasaran, turut ditawarkan pilihan bumbung karbon ringan.

MBUX baharu dengan ChatGPT dan Google Gemini

GT 4-Door Coupé menggunakan sistem MB.OS generasi baharu. MBUX kini menyokong integrasi ChatGPT, Microsoft Bing dan Google Gemini.

MBUX Virtual Assistant juga boleh berinteraksi secara lebih semula jadi serta muncul sebagai avatar animasi pada paparan Zero Layer.

Paparan AMG Special menawarkan beberapa mod khas seperti Central Tube, Pure, Vehicle Data dan Trip.

AMG TRACK PACE dan Predictive Performance Manager

AMG TRACK PACE merekod lebih 80 data kenderaan sebanyak 10 kali sesaat ketika berada di litar.

Sistem turut memaparkan masa pusingan, garis perlumbaan, titik membrek, daya lateral dan tekanan tayar.

Predictive Performance Manager pula mengurus penggunaan tenaga di litar berdasarkan mod Endurance dan Hotlap, dengan pengagihan kuasa yang disesuaikan mengikut bahagian litar bagi memastikan masa pusingan optimum.

Tujuh mod pemanduan AMG DYNAMIC SELECT

Tujuh mod pemanduan disediakan iaitu Comfort, Sport, AMGFORCE Sport+, RACE, Slippery, Eco dan Individual.

Mod Eco memberi fokus kepada jarak perjalanan maksimum dengan penggunaan mod pacuan belakang bagi meningkatkan kecekapan.

Mod RACE pula membuka akses kepada Drift Mode, Drag Race dan Track RaceAMG Launch Control turut disediakan dalam mod S, S+ dan RACE.

Pengeluaran bermula musim panas 2026

Mercedes-AMG GT 4-Door Coupé akan dipasang di kilang Mercedes-Benz Sindelfingen bermula musim panas (Jun – Ogos) 2026.

Motor axial flux pula dihasilkan di fasiliti Berlin-Marienfelde menggunakan sekitar 100 proses pengeluaran, termasuk 35 teknologi baharu bertaraf dunia.

Spesifikasi Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé

  • Tiga motor axial flux
  • Kuasa maksimum: 860kW (1,169 PS)
  • Kuasa berterusan: 530kW (721PS)
  • Tork maksimum: 2,000Nm
  • Pacuan: AMG Performance 4MATIC+
  • 0-100km/j (1-foot rollout): 2.1 saat
  • 0-200km/j (1-foot rollout): 6.4 saat
  • Kelajuan maksimum: 300 km/j
  • Voltan: 800 volt
  • Kapasiti bateri bersih: 106kWj
  • Cas DC maksimum: 600kW
  • Cas AC maksimum: 11kW
  • Cas 10-80 peratus: 11 minit
  • Jarak WLTP: 596 hingga 696 km
  • Penggunaan tenaga: 21.0 hingga 17.9kWj/100km
  • Berat: 2,460kg
  • Dimensi: 5,094 mm panjang, 1,959 mm lebar, 1,411 mm tinggi
  • Jarak roda: 3,040mm
  • Ruang but: 507 liter
  • Frunk: 62 liter

Spesifikasi Mercedes-AMG GT 55 4-Door Coupé

  • Tiga motor axial flux
  • Kuasa maksimum: 600kW (816PS)
  • Kuasa berterusan: 375kW (510PS)
  • Tork maksimum: 1,800Nm
  • Pacuan: AMG Performance 4MATIC+
  • 0-100km/j (1-foot rollout): 2.5 saat
  • 0-200km/j (1-foot rollout): 8.7 saat
  • Kelajuan maksimum: 300 km/j
  • Voltan: 800 volt
  • Kapasiti bateri bersih: 106kWj
  • Cas DC maksimum: 600kW
  • Cas AC maksimum: 11kW
  • Cas 10-80 peratus: 11 minit
  • Jarak WLTP: 597 hingga 700 km
  • Penggunaan tenaga: 21.0 hingga 17.8kWj/100km
  • Berat: 2,460 kg
  • Dimensi: 5,094 mm panjang, 1,959 mm lebar, 1,411 mm tinggi
  • Jarak roda: 3,040 mm
  • Ruang but: 507 liter
  • Frunk: 62 liter

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here