
Dua jenama ikonik dunia yang mencorakkan dunia mobiliti dan gaya hidup selama beberapa dekad, Mercedes-Benz dan adidas, mengumumkan kolaborasi eksklusif menerusi pelancaran edisi khas adidas Samba OG x Mercedes-Benz.
Kasut edisi terhad itu akan mula ditawarkan secara dalam talian dan di butik adidas terpilih bermula 13 Oktober ini.
Menurut kenyataan bersama, kolaborasi berkenaan adalah langkah awal kepada kerjasama strategik yang lebih besar antara kedua-dua jenama gergasi Jerman itu, dengan beberapa projek menarik dijangka diperkenalkan pada masa hadapan.
Pelancaran itu turut menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun 140 Years of Innovation Mercedes-Benz yang dimulakan awal tahun ini bersempena pengenalan generasi baharu S-Class.

Pemilihan model Samba bukan satu kebetulan. Dikenali sebagai antara siluet paling berpengaruh dalam sejarah kasut sukan, adidas Samba berevolusi daripada kasut bola sepak kepada simbol fesyen jalanan merentasi generasi.
Karakter Samba yang kekal relevan menjadikannya padanan ideal buat Mercedes-Benz yang membentuk landskap mobiliti global selama lebih 140 tahun.
Kedua-dua jenama itu berkongsi nilai hampir serupa, iaitu komitmen terhadap inovasi, ketelitian dalam rekaan dan kemampuan menghasilkan produk yang mampu bertahan merentasi zaman.
Jika Mercedes-Benz sinonim dengan kemajuan teknologi automotif dan kemewahan, adidas pula terus menjadi peneraju dalam dunia sukan dan budaya gaya hidup moden.
Melalui adidas Samba OG x Mercedes-Benz, elemen warisan dan kemodenan diterjemahkan dalam satu rekaan eksklusif.
Bahagian atas kasut menampilkan corak jahitan berlian yang diinspirasikan daripada kemasan dalaman Mercedes-Benz S-Class, sekali gus memberikan sentuhan premium yang jarang dilihat pada model Samba.

Identiti Mercedes-Benz turut diperkukuhkan menerusi logo bintang tiga penjuru yang menghiasi bahagian lidah kasut.
Model tersebut hadir dalam tiga pilihan warna monokromatik iaitu Magic Beige, Grey Five dan Black, menampilkan estetika minimalis yang menyerlahkan elemen kemewahan.
Pelancaran kasut berkenaan turut bertepatan dengan persinggahan istimewa tiga buah Mercedes-Benz S-Class yang dikenali sebagai Bertha, Carl dan Gottlieb di ibu pejabat global adidas di Herzogenaurach, Jerman.
Ketiga-tiga kenderaan itu sebelum ini telah menempuh perjalanan hampir 65,000 kilometer merentasi enam benua menerusi ekspedisi global 140 Years. 140 Places sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Stuttgart bagi menamatkan siri jelajah bersejarah itu pada 17 Oktober ini.




