
Honda Malaysia secara rasmi melancarkan pengeluaran unit pertama City Hatchback Baharu di kilang pemasangannya di Pegoh, Melaka sekali gus menandakan ketibaan model kompak itu ke pasaran tempatan tidak lama lagi.
Sejak mula diperkenalkan pada 2021, barisan model City Hatchback terus mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengguna tempatan dengan jualan terkumpul melebihi 51,000 unit.
Bagi versi naik taraf kali ini, Honda City Hatchback didatangkan dengan rekaan gaya yang lebih segar, keterhubungan yang ditingkatkan dan teknologi komprehensif serta pada masa sama mengekalkan ciri terasnya iaitu kerusi Ultra.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata pelancaran pengeluaran itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap kecemerlangan pembuatan, inovasi, serta pertumbuhan industri automotif tempatan yang mampan sejak memulakan pemasangan tempatan pada 2003.
“Didorong oleh komitmen ini, Honda Malaysia berusaha untuk memberikan produk dan perkhidmatan yang membawa kegembiraan serta nilai sebenar kepada rakyat Malaysia, di samping menyokong industri automotif tempatan.
“Syarikat kekal komited untuk memperkukuh keupayaan pembuatan tempatan, tawaran produk yang bukan sahaja memenuhi keperluan dan gaya hidup rakyat Malaysia yang sentiasa berkembang, malah mencipta nilai jangka panjang untuk mobiliti, kehidupan seharian dan masyarakat,” ujarnya.
Sehingga kini, Honda Malaysia telah bekerjasama dengan kira-kira 500 pembekal tempatan, sekali gus membentuk ekosistem kukuh yang memacu pertumbuhan bersama bagi jenama dan perniagaan tempatan.
Disokong oleh tenaga kerja hampir 20,000 rakan bersekutu di seluruh negara melibatkan Honda Malaysia, rangkaian pengedar dan rakan pembekal, syarikat kekal berdedikasi untuk memupuk bakat tempatan serta mewujudkan peluang kerjaya yang menyokong kemajuan ekonomi negara.
































