
Menjelang kemunculan sulung awam di pameran EICMA bulan hadapan, pengeluar motosikal jenama Benda mengesahkan spesifikasi penuh model kruiser Dark Flag 950 bagi pasaran Eropah.
Jentera keluaran China yang diperkenalkan sebagai model konsep pada EICMA 2025 itu mengambil masa setahun untuk memasuki fasa pengeluaran massa, sebelum dijangka berada di bilik pameran Eropah menjelang penghujung November ini.
Benda Dark Flag 950 dijana oleh enjin 948cc V4 16-injap yang patuh piawaian Euro 5+ dengan kuasa 107.2 bhp @ 9,000 rpm dan tork 85Nm @8,000 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan sistem klac slipper.
Satu ciri menarik pada enjin ini adalah pengenalan teknologi pematian silinder automatik semasa dalam keadaan pegun atau beroperasi di bawah beban ringan, bertujuan meningkatkan kecekapan bahan api dan mengurangkan haba enjin.
Bagi keselesaan pengendalian, jentera itu disokong oleh kerangka serta lengan ayun jenis keluli lalu dipadankan bersama fork terbalik baharu di bahagian hadapan serta penyerap hentak berkembar pada belakang.
Dengan jarak roda sepanjang 1,590 mm, ia menggunakan brek dwi-cakera 320mm dengan angkup radial empat-omboh Brembo di hadapan dan cakera tunggal 260mm dengan angkup radial dua-omboh Brembo di belakang.
Bagi memberi kemudahan penunggang, Dark Flag 950 dilengkapi pelbagai ciri moden seperti sistem kawalan kruise, paparan meter digital TFT 3.6 inci, saiz tangki minyak 16 liter serta sokongan pengecasan USB jenis A dan C.
Ketua Pemasaran Benda Motor Eropah, Constantin Heinemann berkata pengenalan model itu membuktikan komitmen jenama tersebut untuk memberi kelainan dalam segmen kruiser menerusi gabungan prestasi enjin V4, reka bentuk unik, serta penawaran teknologi terkini bagi pasaran Eropah.



































