
Secara lalai, Toyota Alphard dan kembarnya Vellfire masih lagi merupakan MPV yang paling popular di atas jalan raya walaupun sudah banyak alternatif ditawarkan oleh syarikat pesaing.
Populariti Alphard/Vellfire turut menyebabkan beberapa pengeluar kenderaan mengambil jalan mudah dengan menerapkan elemen rekaan minivan tersebut pada model keluaran mereka.
Seperti contoh, model Metro yang dihasilkan oleh pengeluar Pakistan Nora EV.
Nampak serupa, tapi sebenarnya dimensi Metro ini jauh lebih kecil berbanding saiz Alphard/Vellfire.
Ia membawakan ukuran sepanjang 3,900 mm, lebih pendek berbanding hatchback dengan rim aloi bersaiz 14 inci sahaja.
Bahagian depan dan belakang model Metro sememangnya menampilkan elemen rekaan yang mirip Toyota, cuma di bahagian sisi ia tidak menampilkan pintu gelangsar.
Ruang kabin pula menempatkan konfigurasi lima tempat duduk dengan gabungan warna dan rekaan gaya kereta premium.
Papan pemuka kelihatan mengambil inspirasi daripada unit Hyperscreen Mercedes, di mana ia sebenarnya sekeping plastik besar dengan skrin infohibur saiz sederhana di tengah.
Antara kelengkapan lain termasuklah sistem pendingin hawa, tingkap kuasa, butang pandu mula, port USB dan kamera undur.
Metro digerakkan oleh motor elektrik pacuan roda belakang menghasilkan kuasa sekitar 5 hp sahaja, dengan pilihan pek bateri LFP 9 kWh, 15 kW atau 23.1 kWh.
Ia mampu menawarkan jarak pandu sejauh 250 hingga 300 km untuk sekali cas penuh.
Nora EV turut merancang untuk mendirikan rangkaian stesen penukaran bateri di Pakistan.
Untuk mereka yang masih rasa bimbang, usah risau kerana Metro akan ditawarkan dalam versi penambah jarak (range extender) dengan tangki petrol 3 liter dan generator kecil yang boleh menambah jarak 150-180 km.
Di Pakistan, Nora EV Metro ini dijual pada harga anggaran bawah 3 juta Rupee (RM44 ribu).







