Trend balik kampung menggunakan MPV mewah sewa kembali rancak apabila semua unit kendaraan itu penuh ditempah di beberapa syarikat sewa kereta.
Antara MPV mewah yang mendapat permintaan tinggi termasuk Toyota Alphard, Vellfire, Hyundai Staria, Starex serta beberapa jenis MPV biasa.
Pengarah Urusan AS Car Rental, Siti Nursyuhada Ali berkata kesemua 15 buah MPV mewah yang ada di syarikatnya sudah habis ditempah sejak seminggu puasa dan terpaksa menyewa daripada orang lain untuk menampung permintaan.
“Kami terpaksa sewa lima buah lagi MPV mewah kerana semua stok yang ada habis ditempah awal. Antara MPV yang mendapat permintaan tinggi adalah Alphard dan Vellfire.
“Kebanyakan tempahan adalah perjalanan untuk pulang beraya ke Pantai Timur. Selain dua MPV tersebut, turut mendapat permintaan tinggi adalah Hyundai Starla, Starex, Toyota Innova, Proton X90, Perodua Aruz dan Alza,” katanya kepada Kosmo!.
gambar hiasan
Siti Nursyuhada yang mengendali syarikat tersebut sejak 2017 menambah, harga sewa MPV mewah itu bermula daripada RM3,850 hingga RM4,900 untuk seminggu dan ia bergantung kepada jenis dan model.
“Kebanyakan penyewa mengambil sewa seminggu dan mereka memilih MPV mewah untuk memberi keselesaan ketika pulang beraya terutamanya kepada keluarga besar.
“Ini kerana selalunya, perjalanan ke Pantai Timur perlu berdepan dengan kesesakan di atas jalan raya yang lama. Jadi dengan menaiki MPV mewah ini, mereka lebih selesa walaupun terpaksa ‘berkampung’ dalam kenderaan berbelas jam,” ujarnya.
Seorang wakil daripada MN Travel N KLIA Car Rental berkata sewaan MPV mewah di bawah syarikat berkenaan seperti Toyota Alphard dan Vellfire sudah habis di tempat di beberapa kawasan, diikuti Perodua Alza kesemuanya telah ditempah pelanggan.
“Kami menyediakan sewaan kereta di seluruh negara dan setakat ini, Alza memang sudah habis ditempah sejak minggu lepas. Toyota Alphard dan Vellfire pula ada beberapa kawasan habis ditempah.
“Secara purata, sewaan semua lima hari ke atas. Untuk sewaan tujuh hari ke atas, akan ada diskaun lagi diberikan kepada penyewa,” katanya.
Wakil tersebut berkata, penyewa memilih MPV untuk pulang berhari raya kerana keselesaan, namun ia tidak bermaksud kereta jenis lain tidak mendapat sambutan kerana ia juga habis ditempah oleh pelanggan.
“Ada dua senario di sini, kami pun dah habis tempahan untuk Perodua Axia dan Perodua Bezza. Tapi majoriti menggunakannya untuk beraya lokal (setempat), maksudnya berada di kawasan mereka sendiri.
“Untuk MPV, biasanya mereka yang berkeluarga besar, tapi kereta sedia ada tidak muat,” katanya.
Jelasnya, sewaan bagi Toyota Alphard dan Vellfire antara RM550 hingga RM700 bagi tempoh satu hingga dua hari, manakala Alza pula RM260 untuk tempoh berkenaan.
Perodua Myvi pula RM170, diikuti Perodua Bezza dan Proton Saga RM140, manakala Perodua Axia RM130.