Utama Berita Automotif Harga RON95 bersubsidi kekal RM1.99, RON95 & RON97 terus melonjak

Harga RON95 bersubsidi kekal RM1.99, RON95 & RON97 terus melonjak

11

Kerajaan terus mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter bagi memastikan rakyat terus dilindungi daripada tekanan kenaikan kos bahan api.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata langkah itu dilaksanakan walaupun konflik Asia Barat yang berlarutan telah melonjakkan harga minyak mentah global lebih 40 peratus hingga melepasi USD100 setong, sekali gus meningkatkan risiko gangguan bekalan minyak dunia.

“Kerajaan akan melaksanakan pelarasan harga bahan api lain secara berperingkat selaras dengan trend kenaikan harga global sejak penghujung Februari 2026.

“Dalam keadaan ini, Kerajaan MADANI mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95) untuk melindungi rakyat, manakala harga bahan api lain diselaraskan secara berperingkat selaras dengan kenaikan harga global sejak penghujung Februari 2026,” jelasnya.

Selaras dengan Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026 adalah seperti berikut:

Bahan Api  Harga Runcit
RON97  RM5.15 seliter (harga 25 Mac 2026: RM4.55 seliter)
RON95 tanpa subsidi  RM3.87 seliter (harga 25 Mac 2026: RM3.27 seliter)
RON95 bersubsidi (BUDI95) RM1.99 seliter (harga 25 Mac 2026: RM1.99 seliter)
Diesel (Semenanjung Malaysia) RM5.52 seliter (harga 25 Mac 2026: RM4.72 seliter)
Diesel (Sabah, Sarawak dan Labuan) RM2.15 seliter (harga 25 Mac 2026: RM2.15 seliter)

Menurut MOF meskipun Malaysia ialah negara pengeluar minyak, harga bahan api domestik tetap dipengaruhi oleh pasaran global kerana sebahagian besar bekalan diperoleh dari pasaran antarabangsa.

Justeru itu, antara langkah yang diambil bagi melindungi rakyat antaranya rakyat yang layak terus menikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter manakala diesel bagi pengangkutan awam dan logistik darat kekal pada RM2.15 seliter, dengan beban subsidi Kerajaan melebihi RM3 bilion sebulan.

“Bantuan diesel individu dipertingkatkan apabila kadar BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi dinaikkan kepada RM300 pada bulan Mac 2026, berbanding RM200 sebulan sebelum ini.

“Pemantauan dan penguatkuasaan diperkukuh bagi memastikan bekalan bahan api kekal stabil serta membendung ketirisan dan penyalahgunaan subsidi, termasuk di kawasan sempadan.

“Kawalan penjualan turut diperketat, dengan larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing terus berkuat kuasa, manakala pembelian bahan api melebihi 20 liter di luar tangki tanpa permit khas juga tidak dibenarkan,” menurut kenyataan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here