Utama Berita Automotif Tular kabel pengecas BYD Flash dijadikan buaian

Tular kabel pengecas BYD Flash dijadikan buaian

12

Aksi berbahaya dua kanak-kanak yang menjadikan kabel pengecas Flash BYD sebagai buaian di sebuah stesen pengecas awam mencetuskan kebimbangan ramai berhubung isu keselamatan infrastruktur di China.

Kejadian yang tular di media sosial itu berlaku pada 2 Oktober lalu di sebuah stesen pengecas terbuka Nanning, Guangxi.

Rakaman video berkenaan memaparkan kanak-kanak terbabit bergayut pada kepala palam pengecas sehingga kaki terangkat dari tanah dan disaksikan individu dewasa.

Susulan video tular itu, pihak khidmat pelanggan BYD pada 4 Oktober menegaskan bahawa sebarang perbuatan bermain di kawasan serta peralatan pengecasan adalah dilarang keras.

Pengeluar kenderaan itu mengesahkan juruteknik penyelenggaraan telah dihantar ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan dan pihaknya akan memperketat kawalan keselamatan di stesen-stesen pengecasan lain.

Mengapa Kabel Pengecas BYD Digantung Dari Atas?

Stesen teknologi pengecas pantas BYD Megawatt Flash dibina khusus untuk menyalurkan kuasa elektrik yang sangat tinggi sehingga 1,000 kilowatt (1 MW).

Oleh kerana keupayaan kuasa yang besar, kabel elektrik yang digunakan adalah sangat tebal dan berat kerana mempunyai cecair penyejuk di dalamnya. Ia bagi memudahkan pengguna menggantung kabel tersebut pada rel di bahagian atas dengan bantuan tali spring khas.

Selain itu, sistem berkenaan memegang berat kabel supaya kepala palam berada selari pada paras dada pengguna dan tidak terlalu berat untuk diangkat di samping komponen berkenaan tidak kotor mahupun basah menyentuh lantai. 

Risiko Bahaya Kerosakan Dalaman & Keselamatan

Orang awam mungkin bimbang tentang risiko renjatan elektrik, namun sistem pengecasan Flash itu sebenarnya mempunyai ciri keselamatan automatik.

Arus elektrik voltan tinggi tidak akan mengalir selagi palam pengecas tidak disambungkan dengan sempurna pada kenderaan EV dan disahkan selamat oleh sistem komputer.

Bagaimanapun, tindakan bergayut dan berayun pada kabel tersebut boleh menyebabkan kerosakan mekanikal yang berbahaya dalam jangka panjang:

  • Kerosakan Struktur Kabel: Kabel berkuasa megawatt bukan sekadar wayar biasa, sebaliknya mengandungi wayar tembaga, saluran cecair penyejuk, serta wayar komunikasi komputer di dalam satu balutan.
  • Keretakan Dalaman: Ayunan berulang kali boleh memutuskan wayar pembumian keselamatan atau merosakkan saluran cecair penyejuk di dalam kabel tanpa menunjukkan sebarang tanda kerosakan pada bahagian luar.
  • Ancaman Kebakaran: Jika kabel yang rosak di dalam ini digunakan semula untuk menyalurkan arus elektrik tinggi, ia berisiko mencetuskan litar pintas atau kegagalan sistem. Selain itu, palam pengecas seberat 3 hingga 5kg yang berayun itu juga boleh menghentam kepala atau badan kanak-kanak jika pegangan mereka terlepas.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here