
Enjin V8 masih mempunyai tempat istimewa dalam dunia Mercedes-AMG dan perkara itu dibuktikan melalui pengenalan Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+ serta GLS 63 4MATIC+ yang diperbaharui.
Kedua-dua SUV prestasi tinggi itu menerima kemas kini menyeluruh melibatkan rangkaian kuasa, teknologi, reka bentuk dan pilihan personalisasi.
Di sebalik perubahan tersebut, perkara paling menarik adalah pembangunan semula enjin V8 M177 yang kini dikenali sebagai M177 EVO.
Walaupun kuasa kekal sama seperti sebelum ini, Mercedes-AMG melakukan pelbagai perubahan kejuruteraan bagi memastikan enjin tersebut terus memenuhi keperluan peraturan emisi masa depan.
Apa yang penting, ianya tidak mengorbankan prestasi yang menjadi identiti sejak sekian lama.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengurusan Mercedes-AMG GmbH, Michael Schiebe, enjin V8 merupakan komponen penting dalam DNA prestasi AMG dan kekal menjadi pilihan popular dalam kalangan pelanggan.
Beliau menjelaskan generasi baharu M177 EVO dibangunkan semula secara menyeluruh bagi memastikan kehadirannya dalam portfolio AMG untuk jangka panjang.
Pada masa sama, enjin ini turut menawarkan tindak balas yang lebih pantas dan prestasi yang lebih mantap dan mampu beroperasi pada putaran enjin yang lebih tinggi.
Enjin V8 kekal 612hp, kini dengan pelbagai penambahbaikan
Di bawah tukup, GLE 63 S dan GLS 63 menggunakan enjin 4.0 liter V8 biturbo M177 EVO yang dibina di Affalterbach mengikut falsafah One Man, One Engine.
Antara perubahan utama yang dilakukan termasuk penggunaan aci engkol jenis flat-plane dan sistem suntikan bahan api yang dipertingkat.
Turut diberi perhatian, saluran kemasukan dan ekzos yang direka semula, aci sesondol kemasukan baharu serta penambahbaikan pada roda pemampat dan perumah pengecas turbo.
Mercedes-AMG turut melengkapkan enjin itu dengan sistem rawatan emisi terkini termasuk penapis zarah sebagai kelengkapan standard di semua pasaran.
Penggunaan aci engkol jenis flat-plane membantu mengurangkan jisim berputar, meningkatkan keupayaan enjin beroperasi pada putaran tinggi dan menghasilkan tindak balas yang lebih tepat.
Walaupun menerima pelbagai perubahan mekanikal, kuasa yang dihamburkan pada 612hp dengan tork maksimum 850Nm yang tersedia dari 2,500 hingga 4,500rpm.
Penambahbaikan turut melibatkan sistem suntikan bahan api, saluran kemasukan dan ekzos, aci sesondol kemasukan serta pengecas turbo.
Kesemua perubahan ini membantu mengoptimumkan tindak balas pedal pendikit serta meningkatkan kecekapan enjin secara keseluruhan.
Selain itu, penghantaran kuasa turut menjadi lebih kemas dan lebih konsisten.
Enjin M177 EVO turut dipadankan dengan sistem hibrid ringan 48V menerusi penggunaan Integrated Starter Generator (ISG) 2.0 yang menyumbang tambahan 23hp dan 205Nm.
Selain membantu penghantaran kuasa, sistem tersebut turut menyediakan tambahan daya kilas pada putaran rendah, membolehkan pemulihan tenaga ketika nyahpecutan dan membantu proses menghidupkan semula enjin dengan lebih lancar.
Dari segi prestasi, GLE 63 S memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 3.9 saat manakala GLS 63 memerlukan 4.2 saat.
Kelajuan maksimum bagi kedua-dua model dihadkan secara elektronik kepada 280km/j.
Bunyi V8 lebih beremosi
Mercedes-AMG turut membangunkan sistem ekzos AMG Performance baharu yang memainkan peranan penting dalam membentuk karakter bunyi enjin V8.
Melalui kawalan injap ekzos standard, bunyi yang dihasilkan boleh dilaraskan mengikut mod pemanduan yang dipilih.
Dalam mod Comfort, bunyi lebih terkawal dan senyap manakala mod Sport+ menawarkan karakter yang lebih agresif.
Pemandu juga boleh melaras bunyi ekzos secara terus melalui butang khas pada konsol tengah bagi mendapatkan keseimbangan yang dikehendaki antara keselesaan dan karakter sport.
Rekaan baharu tampil lebih garang
Dari luaran, GLE 63 S dan GLS 63 menerima bahagian hadapan yang direka semula sepenuhnya.
Perubahan tersebut merangkumi jeriji radiator AMG baharu, bukaan saluran udara lebih besar untuk membantu penyejukan enjin V8 dan lampu LED dengan grafik pencahayaan khusus AMG.
Di belakang, kedua-dua model menampilkan paip ekzos berkembar AMG Performance bersama difuser yang lebih menyerlah bagi mengukuhkan imej prestasi tinggi.
Mercedes-AMG turut menawarkan pelbagai pilihan rim aloi ringan dan rim tempa AMG.
Secara standard, kedua-dua model menggunakan rim berbilang jejari, manakala GLE 63 S boleh dipadankan dengan rim sehingga 22 inci dan GLS 63 dengan pilihan rim sehingga 23 inci.
Lebih tangkas di selekoh, lebih yakin di pelbagai permukaan
Kesemua model dilengkapi pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ dengan pembahagian daya kilas berubah sepenuhnya.
Bagi memastikan ketahanan maksimum, aci pemacu hadapan dan belakang dibangunkan khas untuk menampung tork tinggi yang dihasilkan enjin V8 tersebut.
Sistem suspensi udara AMG RIDE CONTROL+ dengan redaman adaptif pula membolehkan pengguna memilih antara karakter lebih sporti atau lebih selesa mengikut keperluan.
Dalam mod Trail, ketinggian badan meningkat sebanyak 55mm untuk pemanduan off-road.
Sistem kawalan redaman, AMG ACTIVE RIDE CONTROL dan pacuan semua roda turut diselaraskan mengikut keadaan permukaan bagi meningkatkan keupayaan merentasi laluan tersebut.
Ketinggian badan juga boleh dinaikkan sehingga 20mm melalui satu sentuhan butang ketika bergerak atau berhenti, manakala dalam mod Sport dan Sport+ badan direndahkan sebanyak 10mm.
Dalam mod Comfort pula, badan kenderaan diturunkan secara automatik sebanyak 10mm apabila kelajuan melebihi 120km/j bagi mengurangkan rintangan udara, membantu penggunaan bahan api dan meningkatkan kestabilan.
Turut melengkapi pakej casis ialah sistem AMG ACTIVE RIDE CONTROL yang menggunakan penstabil elektromekanikal aktif pada kedua-dua gandar.
Sistem itu mampu menganalisis keadaan jalan dan pergerakan kenderaan sehingga 1,000 kali sesaat bagi mengurangkan olengan badan ketika mengambil selekoh atau melalui permukaan jalan yang tidak rata.
Suspensi dan sistem stereng juga bertindak balas dengan tahap ketepatan tinggi mengikut keadaan pemanduan dan permukaan jalan bagi menghasilkan pengendalian yang lebih tepat.
Bagi memastikan pengendalian lebih tangkas, Mercedes-AMG melengkapkan kedua-dua model dengan diferensial belakang elektronik yang mengagihkan kuasa secara optimum antara roda belakang.
Sistem itu meningkatkan kestabilan ketika pertukaran lorong dan mengurangkan gelinciran roda bahagian dalam ketika mengambil selekoh tanpa campur tangan brek, sekali gus mengelakkan kehilangan kuasa.
Apabila terdapat perbezaan kelajuan antara roda pemacu, lebih banyak daya kilas dihantar ke roda yang mempunyai cengkaman lebih baik bagi mengurangkan gelinciran roda.
Sistem tersebut turut membantu meningkatkan cengkaman dan kestabilan ketika memulakan pergerakan, pecutan, mengambil selekoh, membrek dan ketika memandu di permukaan mencabar seperti salji.
Dalam pemanduan bandar atau ketika melakukan manuver pada kelajuan rendah, ia juga menawarkan tahap keselesaan lebih baik berbanding diferensial mekanikal konvensional.
Tahap campur tangan sistem sentiasa diselaraskan mengikut keadaan pemanduan dan mod ESP yang digunakan bagi menghasilkan keseimbangan antara prestasi, pengendalian, keselesaan dan keselamatan.
Pemandu boleh memilih mod Comfort, Sport, Sport+, Trail, Slippery dan Individual menerusi sistem AMG DYNAMIC SELECT bagi mengubah karakter pemanduan mengikut keadaan dan keperluan.
Kabin mewah dengan sistem operasi MB.OS
Di dalam kabin, Mercedes-AMG mengekalkan gabungan elemen prestasi dan kemewahan menerusi penggunaan bahan premium serta teknologi terkini.
Stereng AMG Performance generasi baharu ditawarkan dalam pilihan balutan kulit Nappa, mikrofiber MICROCUT atau kemasan karbon, selain dilengkapi butang kawalan AMG untuk akses pantas kepada pelbagai fungsi prestasi.
Pilihan balutan tempat duduk pula merangkumi kulit Nappa Exclusive dalam warna hitam, Macchiato Beige, Beech Brown dan Red Pepper.
Turut ditawarkan ialah kulit Nappa Exclusive Style dalam warna hitam dan Macchiato Beige serta pilihan MANUFAKTUR Yacht Blue, Tartufo Brown dan Carmine Red.
Kemasan karbon, kemasan aluminium dan lapisan bumbung mikrofiber MICROCUT turut disediakan bagi menyerlahkan karakter AMG.
Kesemua maklumat dipaparkan melalui sistem operasi MB.OS baharu yang menggunakan paparan resolusi tinggi.
Selain menawarkan operasi yang lebih intuitif dan paparan berorientasikan prestasi, sistem itu turut membolehkan pengguna mengakses pelbagai data khusus AMG secara langsung.
Antara maklumat yang dipaparkan termasuk pembahagian daya kilas, daya G dan data enjin secara terperinci.
Lebih banyak pilihan personalisasi MANUFAKTUR
Bagi pelanggan yang mahukan sesuatu yang lebih eksklusif, Mercedes-AMG menawarkan program MANUFAKTUR dengan pelbagai pilihan warna luaran.
Antaranya termasuk Hightech Silver Magno, Patagonia Red Metallic, Mystic Blue Metallic, Opalite White Metallic, Alpine Grey, Opalite White Magno, Silicon Grey, Côte d’Azur Light Blue Metallic dan Ireland Mid Green Metallic.
Pakej dalaman MANUFAKTUR pula merangkumi balutan kulit premium, kemasan karbon serta jahitan eksklusif.
Pelanggan juga boleh memilih AMG Night Package II yang menampilkan kemasan krom gelap untuk penampilan yang lebih tersendiri.
Ringkasan spesifikasi Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+ SUV
- 3,982cc, V8 biturbo dan ISG 48V
- Kuasa 612hp @ 5,500 hingga 6,100rpm + 23hp (ISG)
- 850Nm @ 2,500 hingga 4,500rpm + 205Nm (ISG)
- Transmisi AMG SPEEDSHIFT TCT 9G
- Pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ dengan pembahagian daya kilas berubah sepenuhnya
- 0 hingga 100km/j dalam masa 3.9 saat, kelajuan maksimum 280km/j
- Penggunaan bahan api gabungan 13.6 hingga 13.2 liter/100km
Ringkasan spesifikasi Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+ Coupé
- 3,982cc, V8 biturbo dan ISG 48V
- Kuasa 612hp @ 5,500 hingga 6,100rpm + 23hp (ISG)
- 850Nm @ 2,500 hingga 4,500rpm + 205Nm (ISG)
- Transmisi AMG SPEEDSHIFT TCT 9G
- Pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ dengan pembahagian daya kilas berubah sepenuhnya
- 0 hingga 100km/j dalam masa 3.9 saat, kelajuan maksimum 280km/j
- Penggunaan bahan api gabungan 13.4 hingga 13.1 liter/100km
Ringkasan spesifikasi Mercedes-AMG GLS 63 4MATIC+
- 3,982cc, V8 biturbo dan ISG 48V
- Kuasa 612hp @ 5,500 hingga 6,100rpm + 23hp (ISG)
- 850Nm @ 2,500 hingga 4,500rpm + 205Nm (ISG)
- Transmisi AMG SPEEDSHIFT TCT 9G
- Pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ dengan pembahagian daya kilas berubah sepenuhnya
- 0 hingga 100km/j dalam masa 4.2 saat, kelajuan maksimum 280km/j
- Penggunaan bahan api gabungan 13.7 hingga 13.4 liter/100km
Mercedes-AMG GLS 63 4MATIC+ SUV 2027
Mercedes AMG GLE 63 S 4MATIC+ Coupé 2027


















