
Audi melancarkan model generasi baharu Audi A6 Allroad yang kini menampilkan gaya badan lebar macam RS6, dipadankan dengan jarak lega bumi yang tinggi dan cladding plastik.
Untuk siapa wagon ini?
Sudah pasti untuk mereka yang mahukan alternatif kepada SUV dan buat pertama kalinya ia hadir dengan pilihan trenkuasa plug-in hybrid (PHEV).
Antara kelengkapan luaran yang ada pada Audi A6 Allroad ialah jeriji rekaan sarang lebah, cladding pada bahagian sisi, bampar belakang dengan liang palsu, skid plate, rel bumbung aluminium dan tip ekzos krom.
Ia juga hadir dengan lampu LED matriks yang boleh memancarkan garisan lorong dan amaran ais terus ke jalan, manakala lampu belakang OLED 2.0 pula boleh memaparkan simbol amaran kepada pemandu lain.
Secara standard, A6 Allroad dipadankan dengan rim 19 inci atau sebesar 21 inci yang lebih bergaya.
A6 Allroad generasi baharu membawakan ukuran panjang 5,016 mm, lebar pula sekitar 1,986 mm, atau 111 mm lebih lebar berbanding A6 Avant dan 84 mm lebih lebar berbanding A6 Allroad terdahulu.
Ruang kabin A6 Allroad mendapat ciri seperti skrin kluster digital 11.9 inci, skrin infohibur 14.5 inci, skrin opsyen untuk penumpang 10.9 inci, sistem pendingin hawa 4-zon, kaca akustik serta kemasan kayu.
Tempat duduk pula hadir dengan sokongan pneumatik, pemanas, ventilasi dan urut.
Ruang kargo pula sebesar 466 liter (404 liter untuk versi PHEV) dan boleh mencapai kapasiti sebesar 1,497 liter (atau 1,423 liter untuk versi PHEV).
Harga jualan bermula dari €77,250 (RM365 ribu) untuk versi V6 TDI dan mencecah sehingga €80,250 (RM379 ribu) untuk versi PHEV.
Audi A6 Allroad bakal bersaing secara terus dengan Mercedes-Benz E-Class All-Terrain, memandangkan Volvo V90 Cross Country sudah pun dihentikan penawarannya.


































