Utama Berita Automotif Strategi produk global tidak lagi relevan masa kini – Audi

Strategi produk global tidak lagi relevan masa kini – Audi

5

Melihatkan kepada trend pemilikan semasa, Audi percaya strategi pendekatan produk global tidak relevan dan sudah pun berakhir. 

Jenama mewah tersebut percaya setiap pengeluar perlu menyesuaikan produk mengikut cita rasa setiap rantau. 

Dalam temu bual bersama majalah GoAuto Australia, Rouven Mohr selaku ketua teknologi Audi menegaskan, “Idea kereta global — satu kereta untuk seluruh dunia — sudah tidak relevan lagi… ia tidak sesuai untuk pasaran AS dan China. Kita perlukan pendekatan tempatan-untuk-tempatan.”

Pandangan beliau disokong oleh ketua Volkswagen China, Ralf Brandstätter. 

Jelasnya, pelanggan Eropah mahukan kawalan fizikal, ketahanan jangka panjang dan dinamik pemanduan, manakala pelanggan China pula mengutamakan kenderaan berasaskan AI, sambungan pintar, kawalan suara lancar dan kokpit digital. 

Namun begitu, Audi tetap akan terus menjual model globalnya di China, terutama bagi pelanggan yang mahukan kenderaan berlogo empat cincin dan karakter Jerman. 
 
Untuk pasaran China itu sendiri Audi memperkenalkan sub jenama baharu yang lebih dikenali sebagai AUDI, membawakan gaya dan reka bentuk yang lebih tersendiri. 
 
Sub-jenama baharu itu dibangunkan menerusi kerjasama antara Audi dan SAIC Motor, menggandingkan kepakaran talaan dan rekaan Audi serta teknologi kenderaan elektrik SAIC. 
 
 

Audi merupakan jenama mewah pertama yang memasuki pasaran China sejak tahun 1988, jauh lebih awal berbanding BMW dan Mercedes-Benz. 

Berbeza dengan pasaran global, pelanggan di China lebih mahukan sebuah kereta yang luas terutama ruang pada bahagian belakang. 

Disebabkan trend yang unik itu, kebanyakan pengeluar mula menawarkan model dengan jarak roda yang lebih panjang, termasuklah sedan dan SUV. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here