
Kia secara rasmi melancarkan K5 2027, model tahun baharu (model year) bagi sedan segmen-D popular itu di Korea Selatan dengan pelbagai penambahbaikan yang memfokuskan kepada ciri paling digemari pelanggan.
Model yang mula dijual pada 2 Julai 2026 itu bukan sahaja menerima lebih banyak kelengkapan standard pada setiap varian, malah turut dipertingkatkan dari aspek keselesaan, keselamatan dan kemudahan penggunaan harian.
Menurut Kia, K5 2027 dibangunkan dengan memberi tumpuan kepada ciri yang paling dihargai pelanggan menerusi penambahan kelengkapan standard mengikut varian.
Langkah itu sekali gus meningkatkan lagi daya saing model berkenaan sebagai salah satu pilihan utama dalam segmen sedan bersaiz sederhana di Korea Selatan.
Untuk makluman, K5 merupakan nama lain untuk Optima yang pernah ditawarkan di dalam negara sebelum ini.
K5 di pasaran sekarang berada dalam generasi kelima dan dikeluarkan sejak 2019.
Kelengkapan standard dipertingkat
Antara perubahan utama ialah semua varian kini didatangkan standard dengan port USB Type-C 100W bersama kabel pengecas.
Nampak ringkas namun port itu membolehkan peranti elektronik dicas dengan lebih pantas sekali gus memenuhi keperluan gaya hidup digital pengguna masa kini.
Selain itu, Kia turut menyusun semula kelengkapan mengikut varian bagi menawarkan nilai yang lebih baik kepada pelanggan.
Varian tertinggi Signature kini dilengkapi perehat kepala tempat duduk belakang boleh laras sebagai kelengkapan standard.
Kia turut menambah perehat tangan tengah belakang bagi memberikan pengalaman perjalanan yang lebih selesa kepada penumpang.
Bagaimanapun, kedua-dua ciri tersebut tidak ditawarkan pada model 2.0 LPG standard serta versi khas untuk orang kurang upaya (OKU).
Bagi varian Noblesse, fungsi Smart Power Trunk dijadikan kelengkapan standard.
Varian popular Best Selection menerima kluster instrumen digital Supervision 12.3 inci bersama Panoramic Curved Display sebagai kelengkapan standard bagi meningkatkan pengalaman pemanduan.
Kia turut menawarkan Monitoring Package sebagai pilihan tambahan untuk varian Best Selection.
Pakej itu merangkumi Remote Smart Parking Assist, Surround View Monitor dan Rear Parking Collision-Avoidance Assist, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan.
Varian Prestige pula dipertingkatkan menerusi penambahan beberapa sistem bantuan pemandu sebagai kelengkapan standard.
Antaranya ialah Highway Driving Assist, Navigation-based Smart Cruise Control dan Forward Collision-Avoidance Assist yang mampu mengesan kenderaan dari arah bertentangan termasuk ketika melalui persimpangan.
Cri tersebut tidak ditawarkan pada model 2.0 LPG Rental.
Rangkaian kuasa
Dari segi mekanikal, K5 2027 kekal ditawarkan dengan empat pilihan rangkaian kuasa yang terdiri daripada enjin petrol, turbo petrol, hibrid dan LPG.
Varian 1.6 Turbo Petrol memiliki kuasa 180PS dan 265Nm dan dipadankan bersama transmisi automatik 8-kelajuan.
Penggunaan bahan api gabungan di antara 12.3 hingga 13.7km/l bergantung kepada saiz rim.
Varian 2.0 Petrol pula berkuasa 160PS dan 196Nm, digandingkan bersama transmisi automatik 6-kelajuan dengan penggunaan bahan api sekitar 12.2 hingga 12.6km/l.
Bagi pelanggan yang memilih 2.0 LPG, enjin itu menghasilkan 146PS dan 191Nm dan turut dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan.
Penggunaan bahan api gabungan berada dalam lingkungan 9.5 hingga 9.8km/l.
Turut ditawarkan ialah varian 2.0 Hybrid yang menggabungkan enjin petrol 1,999cc berkuasa 152PS dan 188Nm dengan motor elektrik berkuasa 38.6kW serta 205Nm.
Rangkaian kuasa hibrid itu menggunakan transmisi automatik 6-kelajuan dan mencatat penggunaan bahan api gabungan antara 17.1 hingga 19.8km/l, bergantung kepada saiz rim.
Harga Kia K5 2027
Di Korea Selatan, K5 2027 ditawarkan dengan harga bermula daripada 27.63 juta won (RM73,400) bagi varian 2.0 Petrol Smart Selection.
Varian tertinggi 2.0 Hybrid Signature dijual pada 39.64 juta won (RM105,300).
Bagi enjin 1.6 Turbo Petrol, harga bermula daripada 29.73 juta won (RM79,000) hingga 36.37 juta won (RM96,600).
Varian 2.0 Petrol pula ditawarkan antara 27.63 juta won (sekitar RM73,400) hingga 35.58 juta won ( RM94,500).
Model 2.0 Hybrid dijual pada harga antara 33.34 juta won (RM88,500) hingga 39.64 juta won (RM105,300).
Untuk pelanggan yang memilih 2.0 LPG, harga bermula daripada 29.61 juta won (RM78,600) hingga 35.48 juta won (sekitar RM94,200).
Kia turut menawarkan versi 2.0 LPG Rental serta model khas untuk OKU pada harga bebas cukai.
Spesifikasi ringkas Kia K5 2027
1.6 Turbo Petrol
- Enjin: 1,598cc turbo
- Kuasa: 180PS @ 5,500rpm
- Tork: 265Nm @ 1,500–4,500rpm
- Transmisi: Automatik 8-kelajuan
- Penggunaan bahan api: 12.3–13.7km/l
2.0 Petrol
- Enjin: 1,999cc
- Kuasa: 160PS @ 6,500rpm
- Tork: 196Nm @ 4,800rpm
- Transmisi: Automatik 6-kelajuan
- Penggunaan bahan api: 12.2–12.6km/l
2.0 Hybrid
- Enjin: 1,999cc petrol
- Kuasa enjin: 152PS @ 6,000rpm
- Tork enjin: 188Nm @ 5,000rpm
- Motor elektrik: 38.6kW
- Tork motor: 205Nm
- Transmisi: Automatik 6-kelajuan
- Penggunaan bahan api: 17.1–19.8km/l
2.0 LPG
- Enjin: 1,999cc
- Kuasa: 146PS @ 6,000rpm
- Tork: 191Nm @ 4,200rpm
- Transmisi: Automatik 6-kelajuan
- Penggunaan bahan api: 9.5–9.8km/l





