
Selepas tampil dengan K4 dan K4 Hatchback di Amerika Syarikat, Kia memperkenalkan K4 Sportswagon untuk pasaran Eropah.
Model ini mengekalkan DNA reka bentuk dinamik sambil menawarkan kegunaan harian yang praktikal.
Diletakkan di antara segmen C dan D, model ini disasarkan kepada pengguna yang mahukan lebih ruang, fleksibiliti dan teknologi tanpa mengorbankan gaya.
Reka Bentuk Opposites United – Gaya Wagon Lebih Panjang & Fungsi Tinggi
K4 Sportswagon dibangunkan dengan terjemahan terkini falsafah reka bentuk Opposites United, kali ini dalam bentuk wagon yang lebih panjang dan berfungsi.
Berbanding sedan, gayaan yang dibawakan nampak harmoni pada model hatchback dan wagon.
Dengan panjang 4,695 mm serta garis badan mendatar yang kemas, model ini menonjolkan imej lebar dan stabil.
Identiti visual diperkukuh dengan Star Map Signature Lighting bersama lampu belakang LED berbentuk L terbalik yang membawa identiti tersendiri.
Elemen unik seperti pemegang pintu belakang tersembunyi, grafik tiang C khas dan bahagian belakang yang direka secara dinamik memberi keseimbangan antara sporti dan praktikal.
Varian GT-Line menambah karakter yang lebih agresif melalui ciri khas seperti bampar depan dan belakang serta kemasan hitam kilat.
Kabin GT-Line turut mendapat sentuhan warna dan bahan tersendiri yang memberi aura lebih premium serta atletik.
Kabin Moden, Skrin Panoramik & Keselesaan
Dengan bentuk wagon dan dimensi lebih panjang, K4 Sportswagon menekankan kegunaan.
Muatan ruang but sehingga 604 liter, iaitu 166 liter lebih besar daripada hatchback, menjadikannya setanding model wagon segmen lebih atas atas.
Tempat duduk belakang boleh dilipat untuk ruang sehingga 1,439 liter.
Jarak roda 2,720 mm pula memastikan ruang kaki luas dan tata atur dalaman yang efisien, sesuai untuk keluarga, perjalanan jauh atau gaya hidup aktif.
Model ini turut menampilkan ciri eksklusif untuk sebuah wagon, iaitu pintu but berkuasa yang membolehkan but dibuka tanpa menggunakan tangan.
Ciri Keselamatan & ADAS Menyeluruh
K4 Sportswagon dibekalkan rangkaian ADAS yang lengkap termasuk:
- Blind-Spot View Monitor (BVM)
- Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA)
- Smart Cruise Control 2 (SCC2) dengan fungsi hentian kecemasan
- Highway Driving Assist 2.0 (HDA 2.0) dengan bantuan tukar lorong
- Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA)
- Surround View Monitor (SVM) paparan 360 darjah
- Forward Collision-Avoidance Assist 2 (FCA2) yang mengesan kenderaan, pejalan kaki dan basikal
Kuasa Petrol & Elektrifikasi
Penawaran enjin bermula dengan unit 1.0 T-GDI berkuasa 115 PS, ditawarkan sama ada dengan transmisi manual 6 kelajuan atau dalam versi mild-hybrid MHEV yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar DCT 7 kelajuan.
Bagi pengguna yang mahukan prestasi lebih tinggi, pilihan turut merangkumi enjin 1.6 T-GDI yang menghasilkan 150 PS atau 180 PS, kedua-duanya digandingkan dengan transmisi automatik DCT 7 kelajuan.
Pilihan hibrid penuh akan menyusul pada hujung 2026, selari dengan strategi Kia dalam peralihan kepada elektrifikasi secara berperingkat.

































