
Kia Sales Malaysia (KSM) melancarkan Kia Carnival Baharu sekali gus menjadi model pertama sejak penubuhan syarikat berkenaan.
Versi terbaharu MPV itu tampil menyerlah, ruang dalam diperbaharui, selain dilengkapi teknologi dan kemudahan yang lebih canggih yang mampu mengukuhkan kedudukannya dalam segmen MPV besar di Malaysia.

Kia Carnival Baharu ditawarkan dua varian yang dipasang secara tempatan (CKD) sejak dari pelancaran iaitu:
- Kia Carnival 2.2D 11 tempat duduk
- Kia Carnival 2.2D tujuh tempat duduk

Kedua-dua varian dipacu enjin turbodiesel empat silinder Smartstream 2.2-litee, yang menghasilkan 202 PS pada 3,800 rpm dan tork 440 Nm antara 1,750 hingga 2,750 rpm.
Enjin itu digandingkan transmisi automatik lapan kelajuan pacuan roda depan dengan penggunaan bahan api tergabung 6.5 liter bagi setiap 100 km (NEDC).
Berpandukan falsafah “Opposites United”, Kia Carnival Baharu hadir reka bentuk bahagian depan diperbaharui menampilkan gril depan lebar dilengkapi oleh bampar yang diukir, untuk garis bentuk lebih aerodinamik.
Sementara itu, grafik Star Map pada lampu siang (DRL), bersama himpunan lampu depan menegak unik, membawakan imej teknologi tinggi dan serba canggih.
Bahagian belakang, tempat letak nombor plat dialihkan ke bahagian bawah pintu belakang, mewujudkan permukaan yang lebih tersepadu, manakala lampu belakang Star Map nyata serasi dengan identiti reka bentuk terkini Kia.
Keanggunan Ruangan Dalaman
Meneroka reka bentuk dalaman, ia hadir konsep minimalis, kemudahan yang direka cipta dengan teliti dan fungsi serba moden. Disediakan dengan susunan tempat duduk 2-2-3 bagi pilihan 7 tempat duduk dan konfigurasi 2-3-3-3 bagi varian 11-tempat duduk.
Varian tujuh tempat duduk dipasang Kerusi Relaxion Premium dengan fungsi luncur sisi di baris kedua, untuk menambah keselesaan penumpang. Ia dilengkapi kerusi baris ketiga yang boleh dilipat rata, untuk menyediakan ruang kargo tambahan. Ia menggunakan rim 18 inci.

Sementara itu, varian 11 tempat duduk pula memaparkan kerusi tengah boleh dilipat pada baris kedua dan ketiga untuk memudahkan penumpang belakang keluar masuk. Bagi membezakannya, ia dipadankan rim 19 inci.
Cahaya keliling di sepanjang papan pemuka menambah kelapangan ruang, manakala panel maklumat dan kawalan iklim sebaris membawakan penampilan yang menarik dan tidak berselerak. Cahaya keliling disediakan pada pelapik dalaman dan kemasan pintu, membolehkan penumpang menyesuaikan lagi persekitaran dalam kenderaan.

Satu ciri menyerlah dalam ruang pemandu ialah skrin panorama melengkung dengan dua unit paparan yang terdiri daripada skrin instrumen digital dan skrin infohiburan yang masing-masing bersaiz 12.3-inci.
Keselamatan menjadi tumpuan utama Kia Carnival Baharu, semua varian menyediakan ciri-ciri keselamatan termasuk:
- Bantuan Mengelak Perlanggaran Depan 2.0 (FCA 2.0)
- Bantuan Had Kelajuan Pintar (ISLA)
- Bantuan Pemanduan Lebuh Raya 2 (HDA 2)
- Bantuan Mengekalkan Lorong (LKA)
- Bantuan Mengikut Lorong (LFA)
- Amaran Perhatian Pemandu (DAW)
- Bantuan Lampu Tinggi (HBA)
- Bantuan Mengelak Perlanggaran Titik Buta (BCA)
- Bantuan Mengelak Perlanggaran Lalu Lintas Silang (RCTA)
- Amaran Penumpang Belakang (ROA)
Kia Carnival Baharu boleh didapati dalam empat warna luar membabitkan:
- Meteor Grey (Kelabu Meteor)
- Snowflake White Pearl (Putih Mutiara Salji)
- Astra Blue (Biru Astra)
- Jet Black (Hitam Pekat)
Dipasang secara tempatan di Kulim, Kedah, Kia Carnival Baharu dijual pada harga permulaan RM188,888 untuk varian 2.2D 11-tempat duduk, manakala pilihan 2.2D 7-tempat duduk boleh didapati pada harga permulaan RM248,888.
Setiap Kia Carnival Baharu disertakan dengan waranti lima tahun atau 150,000km yang mana lebih awal.































