Mercedes-Benz CLA elektrik kereta paling selamat 2025 Euro NCAP, kini di Malaysia, jarak hampir 800km!

5

Model elektrik Mercedes-Benz CLA baharu telah diiktiraf sebagai kenderaan paling selamat (Best Performer) yang diuji oleh Euro NCAP bagi tahun 2025.

Melalui keputusan penilaian terbaharu, CLA elektrik bukan sahaja berjaya memperoleh penarafan maksimum lima bintang, malah mencatatkan markah individu cemerlang sehingga meletakkannya di kedudukan teratas mengatasi semua jenama lain yang diuji oleh institusi keselamatan tersebut bagi tahun 2025.

Kejayaan ini menyaksikan CLA elektrik menerajui kategori Kereta Keluarga Kecil dan sekali gus menduduki tempat pertama merentasi semua kelas kenderaan.

Pencapaian ini meneruskan tradisi kecemerlangan Mercedes-Benz selepas model E-Class dinamakan sebagai Best Performer pada tahun sebelumnya.

Cemerlang 4 Kategori Keselamatan

Euro NCAP menjalankan ujian perlanggaran serta penilaian keselamatan yang sangat ketat.

CLA elektrik menunjukkan prestasi cemerlang dalam keempat-empat kategori iaitu:

  1. Perlindungan penumpang dewasa.
  2. Perlindungan penumpang kanak-kanak.
  3. Perlindungan pengguna jalan raya yang berisiko.
  4. Sistem bantuan keselamatan.

Pembangunan CLA elektrik ini dilakukan sepenuhnya dari peringkat awal dengan tumpuan khusus kepada teknologi keselamatan moden yang menjadi DNA utama Mercedes-Benz.

Matlamat utama jenama ini adalah untuk menawarkan kenderaan paling selamat dalam segmen yang mampu melindungi bukan sahaja pemandu dan penumpang, malah pengguna jalan raya yang lain.

Kejuruteraan Keselamatan dan Struktur Kenderaan

Sistem bantuan keselamatan standard yang pada model ini direka untuk mencegah berlakunya kemalangan.

Namun, jika perlanggaran tidak dapat dielakkan, struktur kenderaan yang melibatkan zon remuk dan ruang penumpang yang tegar serta sistem kekangan akan berfungsi secara khusus bagi meminimumkan risiko kecederaan serius.

Pihak pengurusan Mercedes-Benz menegaskan bahawa pengesahan daripada organisasi bebas seperti Euro NCAP ini membuktikan kepakaran dan komitmen berterusan mereka dalam membina sistem keselamatan dan bantuan pemanduan yang tercanggih di pasaran.

Rangkaian Kuasa Dan Teknologi MB.EA

CLA elektrik merupakan model pertama yang dibina berasaskan Seni Bina Modular Mercedes-Benz (MMA).

Platform ini menggabungkan teknologi bateri terkini dengan sistem 800-volt serta Unit Pacuan Elektrik Mercedes-Benz (EDU 2.0) dua kelajuan yang direka untuk memaksimumkan kecekapan.

Sistem transmisi dua kelajuan ini menawarkan imbangan kuasa yang lebih baik, di mana gear pertama dioptimumkan untuk pecutan permulaan yang pantas manakala gear kedua digunakan untuk pemanduan lebuh raya yang lebih cekap dengan putaran rpm motor yang lebih rendah.

Model ini juga mempunyai pekali seretan (Cd) yang sangat rendah iaitu 0.21 Cd untuk kelancaran aerodinamik.

Penawaran Di Malaysia

Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) menawarkan varian CLA 250+ yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jerman.

CLA 250+ dibekalkan bateri nikel manganese cobalt (NMC) dengan kapasiti bersih 85 kWj yang membolehkan jarak gerak elektrik sehingga 792 km mengikut kitaran WLTP.

Harga semasa pelancaran ialah RM295,888 dan insentif bebas duti untuk EV CBU sebenarnya telah berakhir pada penghujung tahun 2025.

Sebarang perubahan atau harga tepat bakal dimaklumkan kelak.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here