Utama Berita Automotif Honda Odyssey facelift dapat peti sejuk dan kerusi urut

Honda Odyssey facelift dapat peti sejuk dan kerusi urut

63

Honda Odyssey pasaran China menerima kemas kini signifikan menerusi kerusi dengan fungsi urut, peti sejuk binaan dalam dan naik taraf sistem infotainmen.

Dijual pada harga mula CNY184,800 (RM112,629) seunit, kemas kini berkenaan secara khusus menggugurkan varian asas terdahulu yang tidak dilengkapi kawalan kruise, kamera undur dan skrin papan pemuka. 

MPV tersebut dikeluarkan syarikat usaha sama GAC Honda lalu dieksport ke pasaran Jepun lewat 2023 selepas kilang pemasangan lokal ditutup.

Kemas kini model 2026 berkenaan hanya memfokuskan pada naik taraf dalaman tanpa melibatkan perubahan mekanikal. 

Ciri kerusi dengan fungsi pemanasan, pengudaraan dan urut ditawarkan sebagai pilihan bagi barisan hadapan dan tengah, manakala stereng menerima kemasan kulit dijadikan ciri standard merentasi semua varian.

MPV berkenaan juga dilengkapi dengan peti sejuk terbina dalam, kamera 720-darjah, cermin pandang belakang digital serta skrin hiburan pada bumbung untuk penumpang belakang. Ciri-ciri ini merupakan kelengkapan biasa pada model SUV dan MPV NEV domestik di China.

Varian asas baharu, Pro mencuri tumpuan menerusi skrin pusat 12.3-inci yang lebih besar berbanding skrin 10.1-inci pada varian lebih tinggi.

Namun, ia tidak menyokong arahan suara atau sistem navigasi dan fungsi utamanya sebagai hab telefon pintar menerusi Apple CarPlay, Huawei HiCar dan Carlink.

Model Odyssey asas terdahulu merupakan antara kenderaan paling mahal di China yang dilancarkan tanpa skrin hiburan.

Pada harga tawaran CNY175,900 (RM107,204), ia tidak mempunyai ciri standard seperti kawalan kruise, kamera undur dan stereng pelbagai fungsi yang mana plat penutup dipasang bagi menggantikan skrin hiburan. 

Walaupun kemas kini menyaksikan pertambahan harga sebanyak CNY9,000 (RM5,485), varian asas baharu ini mengembalikan semula kebanyakan ciri yang hilang sebelum ini, kecuali kawalan kruise. 

Spesifikasi Honda Odyssey

Honda Odyssey memiliki dimensi panjang 4,861mm, lebar (1,820mm) dan tinggi (1,712 mm) dengan jarak roda 2,900 mm.

Susunan tujuh kerusi dalam atur cara 2+2+3 yang kemudian disokong dengan suspensi topang McPherson di bahagian hadapan dan torsion bar di belakang. Berat tanpa muatan adalah antara 1,860 hingga 1,973 kg mengikut varian.

Kesemua varian menggunakan enjin 2.0-liter aspirasi semulajadi HEV (hibrid) yang menghasilkan kuasa gabungan 158 kW (212 hp) menerusi sistem E-CVT. Penggunaan bahan api dinilai antara 5.88 hingga 6.17l/100km.

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here