
Benelli mencuri tumpuan di pentas pameran EICMA dengan memperkenalkan sebuah jentera konsep terbaharu yang memukau, tampil dengan visual retro-racer serta nama yang menggamit nostalgia.
Motosikal ini dinamakan Tornado Naked Tre 903 Concept, dan pihak Benelli menyatakan ia adalah gambaran awal bagi hala tuju masa depan jenama tersebut.
Penggunaan nama ini merupakan penghormatan kepada model ikonik Benelli Tornado Tre 900 yang mula memasuki fasa pengeluaran pada tahun 2002 sebelum ditamatkan pada 2014.
Namun, rekaan visualnya membawa gaya nostalgia yang berbeza.

Sekilas pandang, ia mengingatkan kita kepada jentera Lotus C-01 (2016) atau Aston Martin AMB-001 (2020).
Selain didominasi warna hijau gelap dengan kemasan hijau pendarfluor (fluo green), keseluruhan reka bentuknya memancarkan aura retro-racer yang kuat.
Penggunaan tayar slick menguatkan lagi karakter tersebut, namun garisan badan Benelli ini kelihatan jauh lebih agresif berbanding model Lotus mahupun Aston Martin itu.
Menariknya, spesifikasi jentera konsep ini turut merangkumi sistem aerodinamik aktif.
View this post on Instagram
Ia menggunakan bacaan daripada unit IMU motosikal untuk melaras sudut sayap (winglet) secara automatik berdasarkan kelajuan dan fasa tunggangan—sama ada sedang mengambil selekoh, membrek, mahupun memecut.
Di sebalik panel badannya tersimpan nadi tiga silinder serba baharu bersesaran sekitar 900 cc. Menurut Benelli, enjin yang hanya seberat 56 kg ini mampu diperah sehingga putaran maksimum 14,000 rpm.
Jentera ini turut dilengkapi kawalan pendikit ride-by-wire, namun aspek paling mencuri perhatian adalah rekaan casis modularnya.
Kerangka ini terbahagi kepada tiga modul utama: hadapan, tengah, dan belakang. Bahagian hadapan dan belakang diperbuat daripada aluminium, manakala bahagian tengah menggunakan bahan komposit.
View this post on Instagram
Melengkapkan lagi bahagian casis adalah kelengkapan berprestasi tinggi termasuk suspensi Öhlins di hadapan, penyerap hentak Marzocchi di belakang, lengan ayun (swingarm) aluminium, serta sistem brek daripada Brembo.


























