Utama Berita Automotif Segway X Cruiser hadir dengan struktur bumbung, realisasikan jenama April Fools’ BMW

Segway X Cruiser hadir dengan struktur bumbung, realisasikan jenama April Fools’ BMW

1

Bertempat di EICMA 2026, Segway memperlihatkan skuter elektrik X Cruiser yang dilengkapi dengan perkakasaan keselamatan yang menyerupai kereta sebenar. 

Antara kelengkapan yang biasanya tidak ada pada jentera dua roda termasuklah sangkar perlindungan, tali pinggang keledar, serta struktur bumbung!

Tidak seperti jenaka April Fools’ yang dipersembahkan oleh BMW, Segway X Cruiser ini dijangka akan memasuki fasa produksi, dengan pelancaran dirancang antara tahun 2027 dan 2028 di China dan Eropah. 

Menariknya, X Cruiser ini akan menggunakan teknologi dua roda dan kepakaran daripada jenama BMW itu sendiri. 

Tidak menghairankan apabila wujudnya kesinambungan reka bentuk antara kedua-dua model tersebut. 

Pada tahun 2000, BMW memperkenalkan skuter C1 yang dilengkapi dengan bumbung, struktur perlindungan serta tali pinggang keledar. 

Ia bertujuan untuk menggabungkan praktikaliti sebuah motosikal dengan perlindungan yang menyamai sebuah kereta sebenar. 

Idea yang dipersembahkan itu sememangnya cukup menarik, namun kebanyakan pembeli tidak berminat dengan konsep sedemikian, menyebabkan produksi berakhir pada tahun 2002. 

BMW kemudian memperkenalkan konsep prototaip elektrik pada tahun 2009, dan kemudian mengumumkan model CE 04 100 Years Edition berbumbung sempena April Fools’ pada tahun 2023. 

Pada tahun 2025, BMW memperkenalkan sebuah lagi konsep skuter elektrik Vision CE yang lengkap dengan sangkar perlindungan dan tali pinggang keledar, di mana kali ini ia hadir dengan teknologi pengimbangan kendiri. 

Segway X Cruiser dilihat mengikut falsafah yang sama walaupun ia bukanlah sebuah skuter yang diubah lencananya.

Sebaliknya, ia merupakan interpretasi Segway tersendiri terhadap konsep yang cuba BMW bawakan sejak berdekad lamanya. 

Selain sangkar perlindungan, struktur penyerap tenaga dan tali pinggang keledar, X Cruiser juga menawarkan teknologi pengesanan titik buta dan amaran penukaran lorong. 

Skuter ini mampu bergerak sejauh hampir 200 km, selain menyokong pengecasan AC 4.5 kW. 

Ia juga turut hadir dengan skrin paparan TFT 10.25 inci dan kotak storan yang boleh dibuka menggunakan kuasa elektrik dengan kapasiti 56 liter. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here