
Bersempena dengan acara Munich Motor Show yang akan berlangsung minggu depan, BMW Motorrad memperlihatkan sebuah konsep skuter yang agak unik, iaitu Vision CE.
Tidak seperti model skuter elektrik yang telah pun dijual, Vision CE tampak seperti sebuah golf cart dua roda yang lengkap dengan sangkar keselamatan bersegi bertujuan untuk melindungi penunggang.
Ia turut mempunyai lampu utama yang tajam, lampu tambahan yang dipasang pada sangkar keselamatan, skrin paparan digital serta skrin penghadang angin kecil.
Skuter off-road ini juga boleh disesuaikan dengan pelbagai aksesori termasuklah pembesar suara Bluetooth boleh alih, rak barangan di belakang dan juga bumbung lutsinar.
Penunggang disediakan tempat duduk yang lengkap dengan tempat sandar dan penghadang kepala, serta tali pinggang keledar.
Tidak banyak perincian tentang unit pacuan yang digunakan, namun BMW mendakwa skuter elektrik ini mempunyai fungsi pengimbangan kendiri, membolehkan skuter ini kekal tegak semasa tidak bergerak.