
Panglima Tentera Udara (PTU), Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris mengesahkan pesawat tempur Sukhoi Su-30MKM masih boleh beroperasi dengan baik sehingga 2035.
Beliau berkata, pesawat yang sudah berusia 18 tahun itu masih lagi relevan dan dalam keadaan baik serta boleh diguna pakai sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun jika komponen diselenggara dan mematuhi jadual servis.
Jelasnya, keadaan pesawat Sukhoi Su-30MKM yang dikendalikan kelmarin masih sama seperti kali pertama beliau memandu pesawat tempur itu selepas menjalani latihan di Zukovsky, Moscow pada 2007.
“Saya antara empat juruterbang kumpulan pertama yang membawa pesawat tempur Sukhoi Su-30MKM pada 2007 dan kemampuan pesawat itu masih sama hingga kini.
“Bagi pesawat pejuang, tempoh minimum boleh beroperasi adalah 20 tahun tetapi ia boleh dilanjutkan sehingga 30 tahun atau lebih, jika penyelenggaraan dilakukan dengan baik dan dinaik taraf.
“Selepas pengalaman memandu sendiri Sukhoi Su-30MKM semalam (kelmarin) dan merekodkan lebih 3,000 jam penerbangan membawa pesawat tempur, pesawat ini masih dalam keadaan baik dan mampu menabur bakti untuk sekurang-kurangnya 10 tahun lagi tanpa sebarang masalah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, program Pelanjutan Hayat Kapal (SLEP) Sukhoi Su-30MKM yang dijalankan syarikat tempatan, Aerospace Technology Systems Corporation (ATSC) membolehkan pesawat itu beroperasi dengan baik dan boleh digunakan lagi untuk tempoh 10 tahun lagi selepas penyelenggaraan.
ATSC menjalankan kerja lanjutan hayat perkhidmatan dan penyelenggaraan serta membaik pulih bagi memastikan pengoperasian pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berada pada tahap optimum dalam menjaga kedaulatan negara.
ARTIKEL LAIN
Pesawat TUDM bawa warga Palestin, ini perkara perlu anda tahu Airbus A400M