Utama Berita Automotif Atuk tak sengaja bakar 20 unit Geely Galaxy A7 baharu

Atuk tak sengaja bakar 20 unit Geely Galaxy A7 baharu

1

Gara-gara seorang atuk membakar longgokan debu putih pokok poplar berhampiran kawasan parkir telah menyebabkan 20 unit kenderaan tenaga baharu (NEV) antaranya sedan Geely Galaxy A7 musnah terbakar di Dalian, China.

Video kejadian yang berlaku pada 30 Mei lalu di Daerah Ganjingzi itu menunjukkan api marak membakar beberapa buah kenderaan dengan asap tebal memenuhi kawasan parkir berkenaan.

Bagaimanapun, pihak bomba dan polis berjaya memadamkan kebakaran serta kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa. 

Menurut pihak berkuasa, suspek berusia 74 tahun dikenali sebagai Wang bertindak membakar debu berkenaan bagi membersihkan kawasan tersebut selepas melihat longgokan besar kapas pokok poplar di sepanjang laluan pejalan kaki dan kawasan senaman.

“Dia didakwa menggunakan pemetik api untuk membakar sebahagian debu kapas tersebut dengan niat untuk membersihkan kawasan itu. Bagaimanapun, angin kencang menyebabkan api merebak dengan pantas lalu menyambar kenderaan yang diparkir berhampiran.

“Polis telah mengenakan tindakan reman jenayah terhadap Wang, dan kes tersebut masih dalam siasatan,” jelasnya. 

Kenderaan Terjejas Geely Galaxy A7

Pihak berkuasa hanya mendedahkan 20 unit NEV baharu yang sedia untuk penghantaran terlibat dalam insiden itu tanpa mendedahkan jenama atau model yang terlibat. 

Bagaimanapun, imej yang tular di dalam talian menunjukkan barisan kenderaan tersebut mempunyai reka bentuk yang sepadan dengan sedan Geely Galaxy A7 yang baru sahaja dilancarkan.

Beberapa kenderaan yang hangus terbakar masih mengekalkan perkadaran badan, bentuk lampu, dan elemen gaya luaran yang menyamai model berkenaan.

Kenderaan tersebut dilaporkan diparkir di kawasan berkenaan sementara menunggu proses penghantaran kepada pelanggan. Imej selepas kejadian menunjukkan beberapa buah kereta hanya tinggal rangka besi. 

Debu Pokok Poplar Merebak Pantas

Debu putih dari pokok poplar dan dedalu (willow) adalah fenomena biasa di utara China pada penghujung musim bunga dan awal musim panas.

Debu putih atau digelar sebagai bulu pokok poplar itu mudah berkumpul di sekitar jalan raya, parkir, kawasan tumbuhan, dan pintu masuk bangunan.

Ia mengandungi minyak tumbuhan semula jadi dan mudah terbakar. Pakar keselamatan kebakaran memberi amaran bahawa punca api yang kecil sekalipun boleh mencetuskan kebakaran besar yang merebak ke kenderaan, tumbuhan, atau bangunan berhampiran.

Pihak berkuasa bomba China kerap menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan api untuk membersihkan debu pokok poplar itu, sebaliknya mengesyorkan kaedah menyiram air dan menyapu. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here