
Geely Auto melancarkan sedan hibrid terbaharu Geely A7 di China. Model revolusioner ini dijangka akan menetapkan penanda aras baharu dalam pasaran sedan global.
Ia cemerlang dalam pelbagai aspek penting, termasuk kecekapan bahan api, keselesaan ruang, teknologi pintar, dan ciri keselamatan canggih.
Sebagai sedan hibrid plug-in pertama yang dibina atas platform canggih GEA (Global Intelligent Electric Architecture), Geely A7 memperkenalkan dua teknologi utama yang serba baharu iaitu sistem hibrid Geely EM Super Hybrid 2.0 dan sistem kokpit pintar Flyme Auto.
Kecekapan dan Prestasi Luar Biasa
Sedan ini menarik perhatian dengan penggunaan bahan api yang amat rendah, iaitu 2.67 L setiap 100km, yang didakwa Geely sebagai yang terendah di peringkat global.
Kecekapan ini dicapai melalui sistem Geely EM Hybrid 2.0 yang inovatif, menampilkan enjin hibrid pengeluaran besar-besaran paling cekap dengan kecekapan terma mencapai 47.26%.
Untuk mengoptimumkan prestasi, sistem ini dipadankan dengan Xingrui AI Cloud Power 2.0, iaitu sistem pintar domain kuasa pertama dalam industri yang dipacu AI.
Hasilnya, Geely A7 mencapai penggunaan bahan api yang luar biasa hanya 2.67 L setiap 100 kilometer (CLTC), menetapkan penanda aras baharu untuk kecekapan tenaga dalam sedan hibrid.
Keselesaan dan Ruang Dalaman Luas
Geely A7 mentakrifkan semula standard ruang untuk sedan dalam era tenaga baharu. Ia mempunyai jarak roda terkemuka dalam kelasnya iaitu 2,845 mm dan panjang badan 4,918 mm, memberikan ruang dalaman yang luas seluas 4.2 meter persegi dan dimaklumkan Geely sebagai terbesar dalam kelasnya.
Penumpang di tempat duduk belakang akan menikmati ruang kaki 950 mm serta ruang lutut belakang terkemuka dalam kelasnya pada 132mm atau menawarkan ruang segmen C dengan dimensi segmen B.
Aspek keselesaan dipertingkatkan lagi dengan ciri-ciri berikut:
- Tempat duduk SPA “Cotton Candy” 10 lapisan yang unik.
- Sistem urutan akupresur tahap SPA 14-titik bersepadu untuk pinggang, belakang, punggung, dan kaki, satu-satunya model dalam kelasnya dengan ciri ini.
- Sebanyak 28 ruang penyimpanan yang direka dengan baik di seluruh kenderaan.
- Ruang bagasi terkemuka dalam kelasnya pada 535 liter, mudah menampung pelbagai penumpang dan sejumlah besar bagasi.
Reka Bentuk Klasik dan Moden
Geely A7 menampilkan reka bentuk yang menonjol dengan menggabungkan siluet tiga kotak klasik bersama sentuhan pintar-elektrik dan moden.
Reka bentuk badan besar ini mengimbangi keanggunan dan kecanggihan.
Bahagian hadapan tampil dengan reka bentuk bar lampu hadapan bersepadu yang bergaya dan kemas, menawarkan julat pencahayaan 180 meter untuk keselamatan dan keandalan.
Bahagian belakang pula menampilkan reka bentuk bar lampu belakang Sunrise, dengan lampu LED ultra-merah yang memberikan kesan warna lebih tulen.
Selain itu, Geely A7 memiliki 21 reka bentuk pengurangan seretan aerodinamik canggih, yang mengurangkan pekali seretan kenderaan kepada Cd 0.229, sekali gus meningkatkan kecekapan bahan api dan jarak pemanduan.
Bahagian dalaman menggabungkan balutan kulit, panel ira kayu dan logam kusam. Gabungan ini menghasilkan kesan visual yang menarik dan mutu sentuhan yang mewah.
Untuk meningkatkan lagi keselesaan dan pengalaman penumpang, Geely A7 dilengkapi dengan tingkap segi tiga belakang yang mempunyai ruang cahaya terbesar dalam segmennya pada 0.029 meter persegi, membenarkan lebih banyak cahaya semula jadi masuk.
Selain itu, ia turut menampilkan sandaran kepala berkeupayaan muzik dan pencahayaan suasana terpanjang dalam segmennya dengan 2,360 milimeter. Secara keseluruhan, ruang dalaman kereta ini telah dinaik taraf, dan semua elemen ini menyumbang kepada pengalaman pemanduan yang mewah dan selesa.
Kokpit Pintar Geely A7
Geely A7 adalah model pertama yang dilengkapi dengan sistem kokpit pintar Flyme Auto yang serba baharu.
Sistem ini dikuasakan oleh teknologi AI dan dibina di atas Xingrui Intelligent Computing Center, yang mempunyai kuasa pengkomputeran sehingga 23.5 ExaFLOPS (iaitu 23.5 kuantilion operasi titik terapung per saat).
Kuasa pemprosesan yang sangat besar ini membolehkan sistem mengendalikan pelbagai tugas kompleks.
Sistem kokpit ini menawarkan pengalaman interaksi yang baru, termasuk:
- Operasi suara yang intuitif melalui entiti pintar interaksi kokpit.
- Integrasi sistem navigasi AutoNavi 810 lengkap dengan panduan lorong visual dan fungsi lampu isyarat pelayaran.
- Pelbagai penyelesaian sambungan kenderaan ke mudah alih yang komprehensif.
Semua ciri ini digabungkan untuk memberikan pengalaman kokpit pintar yang sepenuhnya baharu.
Keselamatan Bertaraf Tinggi
Keselamatan adalah asas utama dan keutamaan tertinggi dalam setiap kenderaan Geely Auto.
Sebagai sedan hibrid plug-in pertama yang dibangunkan berdasarkan seni bina GEA, ia menampilkan reka bentuk pemisahan pelbagai tenaga yang memastikan keselamatan semula jadi kenderaan dalam kelasnya.
Sistem Keselamatan Bateri Short Blade telah menjalani lebih 100 ujian keadaan ekstrem senario penuh, mencapai prestasi cemerlang seperti:
- Tiada penyalaan apabila ditusuk oleh lapan jarum serentak.
- Tiada kebocoran selepas 24 jam tenggelam dalam air.
- Tiada letupan selepas jatuh 2 meter.
- Tiada penyalaan selepas terdedah kepada api suhu tinggi 700°C.
Selain itu, Geely A7 dilengkapi dengan teknologi sandaran atau pengganti kuasa unik dalam industri, di mana motor P1 dan P3 berfungsi sebagai sandaran (back-up) kepada enjin.
Sistem ini berupaya menghapuskan batasan kenderaan elektrik (EV) dan mencegah kereta daripada terhenti akibat kehilangan kuasa.
Dengan badan berkekuatan tinggi seperti ‘sangkar’ dan suspensi MacPherson yang diperkukuh, Geely A7 mempunyai reka bentuk keselamatan yang cukup baik.
Ini membolehkannya mengendalikan pelbagai situasi tak terduga, memberi ketenangan fikiran kepada pemandu dan penumpang.