
CFMOTO 675NK rasmi dilancarkan ke pasaran tempatan pada harga RM33,888 seunit dengan pilihan warna badan Glacier White dan Tundra Grey.
Naked bike tersebut dijana oleh enjin 675cc DOHC sistem penyejukan cecair 3-silinder sebaris berkuasa 70kW @ 11,000rpm dan tork 70Nm @ 8,250rpm dengan kotak gear 6-kelajuan.
Reka bentuk enjin dengan piston dan lejang 72mm x 55.2mm serta nisbah mampatan 11.5:1 menawarkan keseimbangan terbaik antara kuasa dan kecekapan bahan api.
Sistem Bosch EFI pula memastikan penyaluran bahan api yang responsif dan lancar sepanjang tunggangan.
Selain itu, 675NK turut didatangkan dengan sistem quickshifter (untuk upshift sahaja) yang membolehkan penunggang menukar gear dengan pantas tanpa perlu menarik klac.
Bagi meningkatkan ketepatan kawalan, motosikal ini dilengkapi dengan steering damper yang menawarkan kestabilan tinggi ketika mengambil selekoh dan pada kelajuan tinggi.
Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan terbalik 41mm boleh laras penuh dan penyerap hentak belakang jenis monoshock, kedua-duanya dengan jarak pergerakan 130mm.
CFMOTO 675NK berukuran 2,020mm panjang, 849mm (lebar) dan 1,155mm (tinggi), dengan jarak roda 1,400mm. Ketinggian tempat duduk 810mm dan jarak kelegaan tanah 150mm menjadikannya sesuai untuk pelbagai saiz penunggang.
Jentera dengan 189kg ini ditawarkan dengan saiz tangki minyak 15 liter, paparan meter TFT dengan ketersambungan aplikasi CFMoto Ride, pencahayaan LED lampu depan/belakang serta slot pengecas USB jenis A dan C.
Keyakinan membrek diserahkan kepada komponen premium J.Juan, dengan cakera berkembar 300mm di hadapan (kaliper 4 piston) dan cakera tunggal 240mm di belakang (kaliper 1 piston).
Model ini juga dilengkapi dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dwi-saluran dan Kawalan Traksi (TCS) dengan dua tahap pilihan sebagai standard serta Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).
Selain itu, ia dipadankan dengan rim aloi ringan 17 inci dengan tayar CST bersaiz 120/70 R17 (hadapan) dan 180/55 (belakang).
Dengan setiap pembelian CFMOTO 675NK, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh CFMOTO Malaysia.