
Pegawai kanan polis maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan lori di Jalan Batang Kali-Genting, Hulu Selangor semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata nahas jam 4.45 petang itu turut menyebabkan pemandu lori cedera.
Mangsa yang meninggal dunia adalah Superintendan Yuslimezam Hashim, 51, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sebagai Ketua Jabatan Logistik.
“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal seorang diri dari Alor Star, Kedah menuju IPK Pahang.
“Setibanya di lokasi, mangsa yang mengambil selekoh ke kiri dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori,” katanya.
Mohd Asri berkata, impak kemalangan mengakibatkan penunggang motosikal cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori cedera ringan di muka dan dada.
“Mayat dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan ses disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi pegawai penyiasat di talian 03-60641222 atau mana-mana balai polis berhampiran.




























