Utama Berita Automotif Beli RM4.40, sindiket seludup 60 tong petrol sehari ke Thailand

Beli RM4.40, sindiket seludup 60 tong petrol sehari ke Thailand

7

Kegiatan penyeludupan petrol ke Thailand yang dipercayai beroperasi sejak tiga tahun lalu terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah stor haram di pangkalan Haram Tualang, Pengkalan Kubor di Tumpat, pada Selasa.

Dalam serbuan jam 7.30 pagi itu, empat lelaki termasuk seorang warga Thailand berusia antara 32 hingga 58 tahun diberkas bersama pelbagai peralatan dan petrol yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan bahan bersubsidi berkenaan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan hasil risikan berhubung kegiatan penyeludupan petrol di kawasan sempadan.

Menurut beliau, anggota risik Batalion 8 PGA bersama anggota Sekat Pitas Pos Ular membuat pemerhatian selama kira-kira 30 minit sebelum mengesan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero memasuki stor berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika serbuan dilakukan, anggota mendapati dua lelaki sedang menyedut petrol dari tangki kenderaan ke dalam tong plastik, seorang berada di meja stor manakala seorang lagi sedang memunggah tong berisi petrol ke dalam perahu.

“Bagaimanapun, beberapa individu yang berada di kawasan sungai bertindak melarikan diri menggunakan perahu ke arah Thailand sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan,” katanya. 

Tambahnya, hasil pemeriksaan menemukan dua buah Mitsubishi Pajero, 140 liter petrol, dua hos getah, dua pam angin dan wang tunai RM4,800 dipercayai hasil jualan petrol serta beberapa barangan lain.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM65,588.80 dan siasatan awal mendapati dua suspek tempatan berperanan membeli petrol di stesen minyak berhampiran sebelum menjualnya kepada seorang warga Thailand yang bertindak sebagai pembeli utama di stor berkenaan.

“Suspek itu dipercayai aktif dalam kegiatan penyeludupan petrol sejak tiga tahun lalu dan menyewa stor tersebut dengan kadar RM700 sebulan.

“Hasil siasatan juga mendapati petrol dibeli pada harga RM4.40 seliter sebelum dijual semula di Thailand dengan keuntungan tertentu. Dalam sehari, suspek dipercayai mampu membeli dan menjual sehingga 60 tong petrol,” katanya.

Tambah beliau, seorang lagi suspek berperanan sebagai pekerja stor dengan upah RM50 sehari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua suspek bersama barang kes telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here