
BYD rasmi melancarkan Seagull generasi kedua menerusi beberapa penambahbaikan termasuk dimensi lebih besar, konfigurasi lima tempat duduk baharu, teknologi Bateri Blade generasi kedua, pengecasan flash dan sistem LiDAR.
Di peringkat antarabangsa, Seagull dikenali dengan beberapa nama mengikut pasaran antaranya Dolphin, Surf, Dolphin Mini atau Atto 1.
Walaupun menerima naik taraf signifikan, Seagull serba baharu itu lebih murah berbanding model 2025 yang dijual pada harga CNY69,900 (RM40k).
Dimensi & Ruang Dalaman

Seagull baharu tampil lebih besar yang mana kini 4,205 mm panjang, 1,810 mm (lebar), dan 1,570 mm (tinggi), bersama jarak roda 2,650 mm.
Berbanding model terdahulu ia lebih panjang 425mm, lebih lebar (+95mm) dan tinggi (+30mm) dengan jarak roda 2,500 mm.
Justeru itu, ia menawarkan ruang kabin lebih lapang yang mampu memuatkan lima orang penumpang berbanding empat sebelumnya.
Reka bentuk luaran mengekalkan bahasa rekaan Marine Aesthetics menampilkan imej sporty yang rendah serta lampu rekaan trident.
Pelanggan boleh memilih daripada enam warna badan melibatkan Lime Green, Berry Pink, Cream White, Mango Orange, Ice Coconut Blue dan Sesame Grey.
Kabin Pintar & Keselesaan
Kabin pula menampilkan bentangan melintang dengan bahan kemasan yang diperhalusi serta tiga skema warna baharu iaitu Shell White, Clear Sky Pink dan Polar Star Grey.
Model kompak ini dilengkapi sistem kokpit pintar DiLink 150 menerusi skrin infotainmen 15.6 inci dengan sokongan penuh AI DeepSeek.
Ciri-ciri keselesaan turut dinaik taraf, merangkumi:
- Pelarasan elektrik tempat duduk pemandu dengan 6-tahap manakala tempat duduk penumpang hadapan 4-tahap
- Sistem pemanasan dan pengudaraan 3-tahap untuk kedua-dua tempat duduk hadapan, bersama fungsi urutan pelbagai mod untuk pemandu
- Pengecasan telefon tanpa wayar 50watt, pencahayaan sekeliling 127 warna, serta sistem audio 8-pembesar suara.
- But hadapan 94 liter baharu dan ruang but belakang yang boleh dibesarkan sehingga 1,380 liter
Bantuan Pemanduan & Keselamatan
Tarikan utama Seagull baharu ialah sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) berteraskan LiDAR DiPilot 300 “God’s Eye”.
Ia membolehkan fungsi canggih seperti City Navigation on Autopilot (CNOA), High-speed Navigation on Autopilot (HNOA), pengecaman lampu isyarat dengan pusingan jam undur serta menghindari halangan melibatkan pelbagai senario.
Aspek keselamatan diperkukuh menerusi struktur badan gaya sangkar “ten-horizontal, four-vertical”, sehingga enam beg udara dan sistem kestabilan tayar pancit.
Rangkaian Kuasa & Kecekapan
Seagull baharu dikuasakan oleh motor elektrik yang menghasilkan kuasa 85 kW (114 hp) atau 95 kW (127 hp) dengan tork 130 Nm.
Ia menggunakan Bateri Blade generasi kedua BYD yang tersedia dalam kapasiti 30.1 kWh dan 39.2 kWh, masing-masing menawarkan jarak pemanduan 320 km dan 420 km (CLTC).
Penggunaan tenaga dinilai pada 9.0 kWh/100 km. Keselesaan pemanduan diserahkan kepada suspensi belakang multi-link independen dan radius pusingan sebesar 4.95 meter.
Tiga varian tertinggi yang dilengkapi bateri 39.2kWh mendapat naiktaraf utama melibatkan pengecasan Flash yang menurut BYD membolehkan kenderaan mengisi bateri daripada 10-70 peratus dalam masa hanya 5 minit.
Berikut varian BYD Seagull yang ditawarkan di China :
- Vitality Edition : CNY 65,900 (RM40,279)
- Freedom Edition : CNY 72,900 (RM44,557)
- Ease Edition : CNY 75,900 (RM46,391)
- Flight Edition : CNY 82,900 (RM50,670)
- Smart Edition : CNY 99,900 (RM61,060)




