
Pengeluar kenderaan sering mempunyai pelbagai projek rahsia yang tidak pernah sampai ke peringkat pengeluaran.
Namun sekali-sekala, ada juga projek unik yang akhirnya terbongkar kepada umum.
Terbaharu, Ford mendedahkan kewujudan sebuah Mustang Ute Concept, iaitu sebuah Ford Mustang yang diubah menjadi pikap dua pintu.
Menariknya, projek ini bukan hasil kerja pengubah suai bebas, sebaliknya dibina sendiri oleh Ford di kemudahan Experimental Vehicles Building (EVB) di Dearborn, Michigan.
Diasaskan daripada Ford Mustang generasi S550 yang dipasarkan antara 2015 hingga 2023, model konsep ini menerima ubah suai besar pada bahagian belakang.
Bumbung dan ruang belakang dipotong bagi memberi laluan kepada ruang kargo lengkap dengan pintu tailgate, menjadikannya kelihatan seperti gabungan antara Mustang dan Ranger.
Kerja-kerja fabrikasi yang dilakukan juga cukup kemas. Ia hadir dengan cermin belakang tegak ala Ranger serta spoiler yang disepadukan pada panel pemisah kabin dan ruang kargo.
Penampilannya turut dipertingkat menggunakan kit badan Shelby GT350, termasuk bonet berongga, liang udara agresif, diffuser belakang dan sistem ekzos empat muncung.
Menurut Pengurus Heritage Fleet Ford, Matt Korczyk, projek ini dibangunkan sebagai sebahagian daripada program latihan untuk para perantis di bengkel EVB.
Melalui projek sebenar seperti ini, perantis dapat mempelajari kemahiran fabrikasi logam dan pembangunan kenderaan konsep dalam situasi dunia sebenar.
Proses pembinaannya mengambil masa ratusan jam, namun model tersebut tidak pernah dipertontonkan kepada umum sehingga gambar-gambarnya tular di media sosial baru-baru ini.
Tidak seperti kebanyakan prototaip Ford yang akhirnya dilupuskan, Mustang Ute ini kini menjadi sebahagian daripada koleksi Ford Heritage Fleet, sekali gus memastikan ia terus dipelihara sebagai salah satu projek paling unik pernah dihasilkan syarikat itu.
Walaupun model ini sekadar projek latihan, ia mengingatkan peminat kepada Ford Falcon Ute, model ikonik dari Australia yang telah dihentikan pengeluarannya.
Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Ford, Jim Farley, sebelum ini memberi bayangan bahawa syarikat itu sedang mempertimbangkan kebangkitan semula sebuah model ute berprestasi.
Sekiranya idea tersebut direalisasikan, model baharu itu berkemungkinan menggunakan rangkaian kuasa hibrid bagi memenuhi piawaian emisi yang semakin ketat.
Buat masa ini, Mustang Ute kekal sebagai projek konsep satu-satunya di dunia. Namun satu perkara pasti, jika Ford benar-benar menghasilkannya untuk pasaran, ramai peminat jenama itu pasti tidak akan menolak.
View this post on Instagram































