Utama Berita Automotif Honda tawar platform bateri boleh tukar kepada pesaing

Honda tawar platform bateri boleh tukar kepada pesaing

5

Honda sudah lama menawarkan penyelesaian bagi masalah yang kerap dihadapi oleh pengguna motosikal elektrik menerusi sistem bateri boleh tanggal Mobile Power Pack e: (MPP). 

Untuk makluman, teknologi bateri MPP itu menerima pengiktirafan apabila merangkul Sustainability & Circular Economy Excellence Award di The Battery Show 2026, acara yang dianggap antara pameran terbesar inovasi bateri dan kenderaan elektrik (EV) di Amerika Utara.

Lebih menarik, Honda kini mula menawarkan teknologi tersebut kepada syarikat lain di Amerika Syarikat untuk digunakan pada pelbagai produk elektrik, bukan sekadar motosikal dan skuter.

Menurut Honda, MPP dibangunkan bagi menangani tiga cabaran utama produk mobiliti elektrik iaitu masa pengecasan yang lama, jarak perjalanan terhad dan kos bateri yang tinggi.

Berbeza dengan bateri konvensional yang perlu dicas pada kenderaan, MPP boleh dikeluarkan dan digantikan dengan unit yang telah dicas penuh dalam masa singkat.

Pendekatan ini membantu mengurangkan masa henti dan membolehkan pengguna meneruskan perjalanan dengan lebih pantas.

“Pengiktirafan ini mengesahkan usaha kami untuk memperluaskan penggunaan Honda Mobile Power Pack e: kepada pelbagai produk mobiliti dan penyelesaian tenaga mudah alih di Amerika Utara,” kata Ketua Unit Perniagaan Kelestarian dan Pembangunan Perniagaan American Honda, Joe Juliano.

Menurutnya lagi, MPP menawarkan penyelesaian tenaga sifar emisi yang standard dan boleh dipercayai untuk menggerakkan pelbagai jenis peralatan tanpa gangguan operasi.

Apa yang menjadikan teknologi ini menarik ialah sifatnya yang mudah alih dan boleh ditukar ganti.

Seperti contoh, kenderaan pengedaran barangan Honda Fastport eQuad boleh juga menggunakan sistem bateri yang sama menunjukkan teknologi ini boleh diguna pakai selain daripada motosikal. 

Ini bermakna ia berpotensi digunakan pada pelbagai produk elektrik daripada pengeluar lain, sekali gus membuka jalan ke arah penggunaan platform bateri yang lebih seragam dalam industri.

Jika lebih banyak syarikat menerima pakai sistem ini, masa depan mobiliti elektrik mungkin bukan lagi tentang mengecas bateri lebih pantas, tetapi hanya menukarnya dan terus bergerak.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here