
Pengoperasian Terowong SMART berjaya mengelakkan kerosakan harta benda awam di ibu negara dianggarkan bernilai RM4.94 bilion menerusi lencongan air banjir sejak infrastruktur itu dibuka kepada lalu lintas pada Mei 2007.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR), Muhammad Nizam Alias berkata, sepanjang tempoh operasinya, terowong sepanjang 3km itu mengalihkan sebanyak 266.03 juta meter padu air banjir dalam lebih 685 kejadian.
Beliau berkata, infrastruktur unik itu kekal sebagai satu-satunya terowong dwifungsi di dunia yang direka khas untuk mengalirkan air banjir dan menyuraikan trafik ke pusat bandar raya.
“Apabila ada keperluan untuk mengalirkan air banjir, kita dapat melaksanakan fungsi itu dan disebabkan itu, kita dapat menyelamatkan pusat bandar Kuala Lumpur daripada dinaiki air banjir kilat.
“Hampir RM5 bilion nilai harta benda dapat diselamatkan hasil daripada pengoperasian Terowong SMART,” katanya.
Mengenai kejadian banjir kilat yang masih berlaku di sesetengah lokasi di ibu negara, Muhammad Nizam berkata, ia berpunca daripada limpahan sungai yang tidak diliputi oleh sistem terowong itu seperti Sungai Gombak.
“Masyarakat perlu faham kawasan mana yang diliputi oleh Terowong SMART. Jika berlaku hujan lebat di kawasan Sungai Ampang dan Sungai Klang (yang diliputi terowong itu), lebihan air memang akan dialirkan ke dalam terowong,” katanya.
KOS OPERASI TINGGI BAGI DWIFUNGSI
Berhubung aspek pengoperasian dwifungsi, beliau berkata perkara itu memberikan cabaran kerana kos operasi yang tinggi bagi memastikan pintu kalis air serta pintu kawalan air sentiasa dalam keadaan selamat dan berfungsi dengan baik.
Beliau berkata, keutamaan kewujudan Terowong SMART adalah keselamatan dan pengurusan banjir, melebihi pertimbangan kerugian hasil kutipan tol sekiranya terowong perlu ditutup sepenuhnya.
“Saya selalu tekankan kepada pasukan (Terowong) SMART, jangan fikir kita akan rugi sebab perlu tutup lebuh raya ini. Keutamaan kita adalah mengelakkan banjir di Kuala Lumpur kerana jika ia berlaku, kos kerosakan adalah jauh lebih tinggi berbanding kos operasi kita,” katanya.
Muhammad Nizam berkata, ALR komited melaksanakan tanggungjawab sosial dan mengamalkan disiplin kewangan secara teliti dengan mengimbangi perbelanjaan operasi berbanding hasil tol, termasuk memenuhi obligasi sukuk bagi memelihara kepentingan rakyat dan negara.
ARTIKEL LAIN
KL mungkin tenggelam tanpa Smart Tunnel, ini info terowong dwifungsi idea Tun M!




























