
Terowong SMART berjaya mengeluarkan 243.39 juta meter padu air banjir dalam 630 kejadian sekali gus mengelakkan kerugian awam dianggarkan berjumlah RM4.7 bilion sejak beroperasi pada 2007.
Ketua Pegawai Eksekutif Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR), Muhammad Nizam Alias berkata, SMART (Stormwater Management and Road Tunnel) adalah satu-satunya terowong dwi-fungsi di dunia yang menggabungkan laluan trafik dan sistem saliran banjir.
Katanya, terowong itu turut menampung purata 19,000 kenderaan sehari dan berperanan mengurangkan risiko banjir di kawasan kritikal di Kuala Lumpur.
“Kemudahan ini bukan sekadar projek kejuruteraan, sebaliknya menyentuh aspek sosial dan keselamatan rakyat.
“SMART adalah komponen penting dalam infrastruktur negara, bukan sahaja dari segi fungsi tetapi juga dari segi impak terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya.
Muhammad Nizam berkata, ALR yang mengurus empat konsesi lebuh raya termasuk SMART, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) , Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) beroperasi sebagai entiti tanpa keuntungan bagi mengutamakan kepentingan rakyat serta mengurangkan beban kewangan kerajaan.
PAS PERJALANAN SMART TANPA HAD
Beliau berkata, pendekatan itu berbeza dengan model konsesi konvensional kerana tidak memerlukan pembayaran pampasan tol sekali gus melindungi kewangan awam.
“Justeru, ALR memperkenalkan Pas Perjalanan SMART Tanpa Had berharga RM68 yang sah digunakan dari 16 Ogos hingga 16 September 2025,” katanya.
Katanya, inisiatif itu bertujuan memberi penjimatan signifikan kepada pengguna tegar lebuh raya SMART yang menjadikan laluan itu sebahagian daripada rutin harian.
“Selain itu, ia menggalakkan penggunaan lebuh raya secara lebih efisien dan menjimatkan masa perjalanan ke pusat bandar.
“Inisiatif ini adalah tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan kepada usaha ALR menjadikan infrastruktur lebuh raya lebih lestari dan mesra pengguna,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif Pas Perjalanan SMART Tanpa Had berharga RM68 itu memberi penjimatan besar kepada pengguna terutama yang berulang-alik setiap hari.
“Bayaran ini sepadan dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan boleh digunakan sepanjang tempoh sebulan, sekali gus menjimatkan kos perjalanan harian sehingga separuh berbanding kadar tol biasa,” katanya.