
MForce secara rasmi telah melancarkan skuter terbaharu, Brixton Moucca 250 yang menggabungkan elemen reka bentuk retro pada harga cadangan RM12,888 seunit.
Dari segi prestasi, Brixton Moucca 250 dikuasakan oleh enjin 244cc silinder tunggal, 4-lejang, penyejukan cecair bersama sistem bekalan bahan api EFI daripada Bosch. Ia menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 18kW @ 8,250rpm dan tork maksimum 24 Nm @ 6,500 rpm bersama sistem transmisi automatik.
Bagi aspek pengendalian dan keselesaan, skuter ini dilengkapi dengan suspensi hadapan jenis teleskopik dan penyerap hentak berkembar di belakang.
Sistem breknya terdiri daripada brek cakera tunggal pada bahagian hadapan dan belakang bersama tayar CST bersaiz 120/70-12.
Dari segi dimensi, skuter ini mempunyai ukuran panjang 1,975 mm, lebar (735 mm), dan tinggi (1,145 mm), dengan jarak roda 1,410 mm.
Ia menawarkan ketinggian tempat duduk yang mesra pengguna iaitu 750 mm, serta jarak kelegaan tanah 140 mm. Dengan berat keseluruhan 130 kg, ia dilengkapi dengan tangki bahan api berkapasiti 11.5 liter dan bateri 12V 9Ah.
Selain itu, ciri peralatan yang ditawarkan Moucca 250 adalah lampu utama LED berbentuk heksagon, lampu belakang LED dan TFT ride meter.
Ia hadir dalam empat pilihan warna menarik iaitu Mint Green, Backstage Black, Enduro White, dan Clockwork Orange.
BRIXTON 625V : RM26,888
Pada acara yang sama, MForce turut memperkenalkan Brixton 625V pada harga jualan asas RM26,888.
Brixton 625V dijana oleh enjin 578.2cc V2-silinder, 4-lejang yang menggunakan sistem penyejukan cecair berkuasa 45kW @ 8,250 rpm serta tork 60Nm @ 5,500 rpm. Motosikal ini menggunakan sistem transmisi tali sawat dengan kotak gear 6-kelajuan dan dilengkapi klac Wet Multi-Plate Slipper.
Keselesaan tunggangan diserahkan kepada fork teleskopik terbalik dengan travel sejauh 130 mm di hadapan manakala bahagian belakang dilengkapi dengan penyerap hentak berkembar yang boleh dilaras dengan travel sejauh 81 mm.
Kemudian ia dilengkapkan dengan brek cakera dengan angkup 4-piston TAISKO di hadapan dan brek cakera dengan angkup 2-piston TAISKO di belakang, serta disokong oleh Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dua saluran. Motosikal ini menggunakan tayar hadapan bersaiz 120/70-R18 dan tayar belakang bersaiz 160/60-R16.
Brixton 625V mempunyai ukuran dimensi panjang 2,220 mm, lebar (800 mm), dan tinggi (1,110 mm), dengan jarak roda 1,490 mm. Ketinggian tempat duduk pelana pula 700 mm dengan jarak kelegaan tanah 160 mm.
Ciri peralatan lain yang ditawarkan pada motosikal dengan berat 200kg itu adalah tangki bahan api berkapasiti 20 liter, lampu depan/belakang jenis LED, meter digital moden dan pengecasan USB jenis A dan C.
Brixton 625V boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Heritage Silver, Classic Black, dan Oxford Green.





























