
MForce Bike Holdings menggegarkan segmen skuter negara dengan pelancaran model terbaharu, SYM Husky 200 pada acara Bike Motor Show (2026) pada harga cadangan RM10,998 seunit.
SYM Husky 200 digerakkan oleh enjin 175cc, silinder tunggal, 4-lejang, OHC, penyejukkan cecair berkuasa 12.0kW @ 8,000rpm dan tork 15.6 Nm @7,000rpm bersama transmisi CVT.
Sesuai dengan trend terkini, SYM Husky 200 dilengkapi dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dua saluran dan sistem kawalan traksi (TCS) sebagai standard.
Ciri peralatan lain ditawarkan termasuklah paparan meter TFT, sistem kunci pintar, port pengecas USB (3.0 Type-A), saiz tangki minyak 15 liter dan pencahayaan lampu menggunakan teknologi LED penuh serta punat lampu kecemasan untuk keselamatan tambahan.
Dengan berat kering 152 kg dan jarak roda 1,390 mm, skuter maksi itu menawarkan kestabilan yang baik semasa tunggangan. Ia juga dilengkapi ruang simpanan di bahagian depan dan bawah pelana, selain karier belakang yang memudahkan urusan membawa barang.
Keselesaan tunggangan pula diserahkan kepada suspensi jenis fork teleskopik di depan dan monoshock di belakang bersama brek cakera 260mm dan angkup 2-piston di depan serta brek cakera 230mm di belakang.
SYM Husky 200 hadir dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Glossy Green, Silk Purple, dan Pearl White.






























