
GWM Malaysia secara rasmi melancarkan GWM Tank 300 HEV baharu dengan tanda harga RM259,800 (di atas jalan) tanpa insurans.
Varian hibrid baharu Tank 300 ini adalah RM9,800 lebih mahal dari varian bukan hibrid yang ditawarkan pada harga RM250,000.
Di bawah bonet, GWM Tank HEV menggunakan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat silinder menghasilkan 245 hp/380 Nm.
Ia dimantapkan dengan transmisi hibrid automatik sembilan kelajuan merangkumi motor tarikan (traction motor) – tambahan 106 hp dan 268 Nm, semuanya dikuasakan pek bateri 1.67 kWh.
Rangkaian kuasa ini menghasilkan output gabungan 346 hp dan 648 Nm kepada sistem pacuan empat roda (4WD), membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.1 saat dengan kelajuan tertinggi 180 km/j.
Berbanding dengan Tank 300 bukan hibrid yang menggunakan enjin petrol 2.0 liter pengecas turbo empat silinder sebaris dengan kuasa 220 hp dan 380 Nm, varian hibrid adalah 126 hp dan 268 Nm lebih berkuasa.
Ia menawarkan keupayaan off-road yang sama seperti versi bukan hibrid, menampilkan enam mod pemanduan: Normal, Eco, Sport, Snow (Salji), Mud (Lumpur), Sand (Pasir), dan 4L.
Ia juga dilengkapi bantuan tank turn assist dan crawl control, dengan sudut pendekatan (approach), pelepasan (departure), dan breakover masing-masing dinilai pada 33 darjah, 34 darjah, dan 23 darjah, menyamai versi bukan hibrid.
Jarak kelegaan tanahnya pula 224 mm.
Selain rangkaian kuasa, bahagian luaran Tank 300 HEV adalah serupa dengan versi bukan hibrid, kecuali model hibrid menggunakan rim aloi 17 inci yang lebih kecil dan dibaluti tayar semua permukaan.
Ciri luaran lain pada GWM Tank 300 HEV termasuk:
- Lampu hadapan LED automatik dengan fungsi ‘follow-me-home‘ dan lampu tinggi automatik
- Lampu pemanduan siang hari (DRL) LED
- Lampu kabus LED hadapan dan belakang
- Cermin sisi berwarna hitam bertekstur dengan lampu isyarat membelok bersepadu
- Lampu belakang LED
- Pemijak sisi tetap
- Pengelap cermin hadapan automatik penderia hujan
- Bumbung suria (sunroof) dengan pelindung matahari
- Rim aloi 17 inci dibaluti tayar AT
Bahagian dalaman GWM Tank 300 HEV menampilkan beberapa perbezaan kelengkapan khusus berbanding varian bukan hibrid.
Model hibrid ini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, manakala varian bukan hibrid memerlukan sambungan berwayar.
Selain itu, varian hibrid dilengkapi fungsi naik-turun automatik, perlindungan anti-sepit (jam protection), dan ciri tutup automatik untuk semua cermin tingkap.
Sebaliknya, varian bukan hibrid mengehadkan fungsi naik-turun automatik dan perlindungan anti-sepit pada tingkap pemandu sahaja.
Satu lagi ciri eksklusif pada Tank 300 HEV ialah sistem bantuan parkir automatik sepenuhnya, yang mengesan dan melaksanakan pergerakan parkir secara automatik dengan input pemandu yang minimum.
Di samping itu, varian hibrid mempunyai ketersambungan aplikasi pintar untuk memantau status kenderaan dari jarak jauh, termasuk pintu, tingkap, tayar, lokasi, tahap bahan api, dan tahap bateri.
Aplikasi ini juga membolehkan pengguna mengawal fungsi utama kenderaan dari jauh seperti penyaman udara, pengudaraan tempat duduk, dan bumbung suria.
Kelengkapan dalaman lain untuk GWM Tank 300 termasuk:
- Kluster tolok digital 12.3 inci
- Paparan infotainmen 12.3 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
- Sistem bunyi Infinity dengan sembilan pembesar suara
- Kawalan iklim automatik dwi-zon dengan penderia PM2.5, penapis zarah N95, dan penderia kualiti udara
- Empat port USB
- Stereng dibalut leatherette dengan fungsi pemanas serta pelarasan tilt dan teleskopik
- Lampu suasana (ambient lighting) 64 warna
- Upholsteri kulit Nappa
- Tempat duduk pemandu berkuasa elektrik dengan pelarasan lapan arah, sokongan lumbar empat arah, fungsi pengudaraan, urutan, dan memori
- Tempat duduk penumpang hadapan berkuasa elektrik dengan pelarasan empat arah
- Pad pengecasan tanpa wayar
Untuk keselamatan, GWM Tank 300 HEV dilengkapi enam beg udara, manakala versi bukan hibrid mempunyai tujuh beg udara—di mana model hibrid tidak menyertakan far-side airbag.
Perbezaan lain ialah tali pinggang keledar belakang bahagian luar pada model hibrid dilengkapi dengan pra-tegangan (pre-tensioners) dan penghad beban (load limiters), manakala versi bukan hibrid hanya mempunyai penghad beban.
Tank 300 HEV dilengkapi rangkaian ciri keselamatan pintar, termasuk:
- Monitor pandangan panoramik dengan paparan casis lutsinar
- Bantuan pelayaran pintar (ICA)
- Kawalan pelayaran adaptif (ACC)
- Bantuan kesesakan lalu lintas (TJA)
- Brek kecemasan autonomi (AEB)
- Amaran perlanggaran
- Bantuan kekal lorong (LKA)
- Bantuan tukar lorong (LCA)
- Amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
- Pengenalan tanda trafik (TSR)
- Bantuan parkir automatik sepenuhnya
GWM Tank 300 HEV ditawarkan dalam tiga pilihan warna luaran, iaitu Crystal Black, Pearl White, dan Sand Beige.
Pada harga RM259,800, Tank 300 HEV merangkumi penyelenggaraan percuma selama lima tahun (termasuk kos upah dan alat ganti) serta perkhidmatan telematik kenderaan L2 percuma selama lima tahun.
Ia juga didatangkan dengan waranti seumur hidup untuk enjin dan transmisi (eksklusif untuk pemilik persendirian pertama), serta waranti bateri kuasa selama lapan tahun/180,000 km.
GWM Malaysia turut menawarkan program GWM Owners Loyalty dengan rebat eksklusif RM3,000.





























