Utama Berita Automotif Lewandoski kini sertai keluarga Chery global

Lewandoski kini sertai keluarga Chery global

3

Chery mengumumkan pelantikan Robert Lewandowski sebagai duta baru jenama itu dalam usaha mengukuhkan kehadirannya di peringkat global.

Kerjasama itu diumumkan di pusat operasi Chery Eropah di Barcelona, ​​Sepanyol, dengan ikon bola sepak tersebut turut menerima kunci Tiggo 9 CSH.

Sebagai seorang daripada lima pemain yang menjaringkan 100 gol ketika bersama dengan tiga kelab berbeza, Lewandowski menjulang pelbagai gelaran bersama Lech Poznań, Borussia Dortmund, Bayern Munich dan Barcelona sepanjang kerjayanya.

Untuk penglibatannya dengan pasukan kebangsaan Poland pula, Lewandowski membuat 165 penampilan dan menjaringkan sebanyak 89 gol sejak tahun 2008.

Beliau bagaimanapun tidak akan beraksi di Piala Dunia 2026 kerana Poland gagal melepasi peringkat kelayakan.

“Saya gembira dapat bekerjasama dengan sebuah jenama yang benar-benar mengutamakan keluarga.

“Kami berkongsi nilai yang sama – mengutamakan keluarga, kekal fokus dan berusaha untuk mencapai kecemerlangan.

“Saya berharap dapat bekerjasama dengan Chery untuk membawa falsafah “Untuk Keluarga” kepada keluarga di seluruh dunia,” kata Lewandowski.

Lewandowski menyertai pelakon British, Daniel Craig sebagai seorang daripada beberapa selebriti bukan dari China yang kini menjadi duta jenama itu.

Craig menjadi wajah utama Denza, sub-jenama di bawah BYD yang sebelum ini pernah juga diwakili Leonardo DiCaprio.

Untuk pengembangan besarnya ke Amerika Selatan, jenama seperti Geely menandatangani Fernanda Lima dan Rodrigo Hilbert.

Pengembangan di peringkat global menjadi satu hal yang sangat penting bagi jenama kereta China memandangkan keadaan pasaran domestik mereka yang semakin perlahan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here