
Pernahkah anda mendengar pendapat mahupun nasihat seperti ini ketika ingin membeli kereta?..
“Kereta tu jimat minyak, tapi nak memotong pun mengah. Kalau nak kereta ‘pickup’ cepat, memang kena redha kuat makan minyak.”
Kenyataan sedemikian mungkin relevan sekitar 15 atau 20 tahun lalu, tatkala pengeluar kereta terpaksa meletakkan enjin bersaiz kecil yang kurang berkuasa atau mengurangkan berat kenderaan sehingga terasa seperti ‘tin kosong’ bagi mencapai matlamat penjimatan bahan api.
Namun, prinsip lapuk itu sudah jauh tenggelam di era automotif moden yang mana penjimatan minyak tidak lagi bermaksud pengeluar perlu mengorbankan kuasa pecutan ataupun kualiti pemanduan.
Sebaliknya, hasil kecekapan tenaga membolehkan jurutera automotif menyatukan dua elemen yang dulunya dianggap mustahil: Lebih laju dan tangkas, namun jauh lebih jimat.
1. Kuasa Besar dari Enjin Kecil

Di era boomer, bagi mendapatkan kuasa 150hp menuntut sesaran enjin yang jauh lebih besar iaitu sekitar 2.0 atau 2.4 liter aspirasi semula jadi, yang akan mengorbankan penggunaan bahan api.
Kini, dengan bantuan teknologi pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus, enjin sekecil 1.0 hingga 1.5 liter mampu menghasilkan output kuasa yang sama, bahkan menawarkan tork jauh lebih tinggi pada putaran enjin (RPM) yang rendah.
Penggunaan enjin berkapasiti kecil dengan turbo membolehkan kenderaan mengekalkan kecekapan ketika memandu santai di bandar, namun berupaya menghasilkan tork serta-merta sebaik pedal minyak ditekan di lebuh raya.
Manakala kewujudan trenkuasa hibrid moden yang menggabungkan motor elektrik dan enjin pembakaran dalaman memberikan tork secara langsung untuk pergerakan awal yang lancar dan senyap.
Sementara enjin petrol hanya mengambil alih pada kelajuan tinggi tanpa membazirkan setitis pun bahan api yang tidak perlu.
2. Nisbah Gear Lebih Pintar & Aerodinamik

Imbas kembali sekitar era 90-an, kotak gear automatik 4-kelajuan kebiasaannya membuatkan enjin sedikit mengerang pada RPM tinggi. Misalnya pada kelajuan 110kmj boleh mencecah 3,000rpm yang secara langsung menyumbang kepada pembaziran petrol.
Hari ini, transmisi telah berevolusi menerusi penawaran kotak gear CVT moden dengan nisbah yang lebih besar.
Ia bijak menjaga putaran enjin kekal rendah sewaktu memandu di lebuh raya yang mana pada kelajuan 110kmj, putaran enjin hanya berada sekitar 1,500rpm.
Transmisi dwi-klac (DCT) pula memastikan nisbah gear sentiasa berada pada tahap optimum untuk menjimatkan petrol ketika pelayaran, tetapi bertukar menjadi responsif apabila pedal minyak ditekan secara agresif.
Hasilnya, kereta meluncur lebih senyap dan bahan api disimpan secara maksimum.
Ditambah pula dengan reka bentuk badan kenderaan moden yang melepasi ujian terowong angin, aerodinamik yang tinggi memastikan enjin tidak perlu bertarung dengan rintangan geseran udara bagi mengekalkan kelajuan tinggi.
3. Bantuan Teknologi Hibrid

Sistem hibrid moden sering disalah erti sebagai teknologi yang membosankan atau ‘lemau’.
Realitinya, motor elektrik bertindak sebagai penyemak imbang terbaik untuk kuasa enjin petrol kerana ia menawarkan daya kilas maksimum sebaik sahaja anda menekan pedal minyak dari kedudukan pegun.
Melalui kombinasi ini, enjin petrol tidak perlu lagi mengerang atau membakar minyak secara berlebihan sewaktu mula memecut.
Hasilnya, respons pemanduan jauh lebih tangkas berbanding kenderaan konvensional biasa, tetapi tahap penggunaan bahan api kekal berada di paras yang rendah.
4. Contoh Dunia Sebenar: Chery TIGGO CROSS

Sebagai bukti nyata kepada evolusi kejuruteraan ini, kita boleh melihat pada Chery TIGGO CROSS yang mana SUV tidak lagi perlu mengorbankan prestasi demi mencapai kecekapan bahan api.
Ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu Turbo dan Hibrid, SUV berkenaan menawarkan penjimatan ketara mengikut kesesuaian gaya pemanduan:
- Varian 1.5L Turbo: Enjin ini menghasilkan output 147PS dan tork 210Nm. Tork tinggi ini dicapai pada RPM rendah, bermakna anda tidak perlu menekan pedal secara mendalam untuk memecut atau memotong kenderaan di jalan berbukit. Dipadankan dengan transmisi DCT 6-kelajuan mengurangkan kehilangan tenaga enjin dan di atas kertas ia merekodkan penggunaan bahan api sekitar 6.3 L/100 km.
- Varian 1.5L Hibrid CSH: Menggabungkan enjin petrol 1.5L dengan motor elektrik bagi memberikan tork serta-merta dari kedudukan pegun, menjadikannya sangat senyap dan responsif dalam kesesakan lalu lintas bandar yang kerap henti-dan-mula. Varian ini mampu mencapai tahap penjimatan sehingga 5.4 L/100 km.
Berdasarkan pengalaman uji pandu media automotif tempatan ke Pantai Timur, versi Turbo memberikan suntikan tork yang pantas tanpa sebarang istilah enjin ‘lemau’ ketika mahu memotong.
Namun, sistem hibrid mempamerkan kecekapan terbaik di kawasan bandar dengan julat penggunaan bahan api antara 4.0 hingga 5.0 L/100 km memandangkan motor elektrik menampung beban pemanduan berkelajuan rendah.
Penggunaan bahan api tentunya meningkat pada kelajuan pelayaran lebih tinggi yang mana berdasarkan pengalaman pemanduan kami dengan varian Hibrid CSH, ia merekodkan purata sekitar 5.1 atau lebih tinggi bergantung kepada beban dan kelajuan kenderaan.
Ini bermakna sistem hibrid memberikan penjimatan yang amat ketara dalam pemanduan henti dan mula di kawasan bandar, walaupun jurang penjimatan tersebut semakin mengecil semasa pemanduan di lebuh raya pada kelajuan konsisten.
Jawapan kepada persoalan sama ada kereta jimat minyak itu mesti berprestasi lemah adalah tidak lagi relevan untuk era kenderaan moden.
Menjimatkan minyak pada zaman ini bukan lagi tentang mengurangkan spesifikasi atau menahan kelajuan, sebaliknya ia adalah tentang mengurangkan pembaziran tenaga secara menyeluruh demi kepuasan pemanduan alaf baharu.




























