Utama Berita Automotif KL mungkin tenggelam tanpa Smart Tunnel, ini info terowong dwifungsi idea Tun...

KL mungkin tenggelam tanpa Smart Tunnel, ini info terowong dwifungsi idea Tun M!

6994

Semalam, sebanyak 5 juta meter padu air banjir berjaya dilencongkan Terowong Smart daripada memasuki Kuala Lumpur.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata lencongan itu mula diaktifkan pada jam 7.45 malam Sabtu dalam usaha mengurangkan impak kejadian banjir.
 
 
Jika 5 juta meter padu itu tidak dapat dilencongkan, beliau percaya keadaan banjir di Lembah Klang bertambah buruk.
 
“Bayangkan kalau ada lagi 5 juta meter padu jika tidak dilencongkan, kalau ikut pengiraan memang Kuala Lumpur akan tenggelam,” katanya. 
 
Ini perkara perlu anda ketahui tentang Terowong Smart yang dibangunkan pada zaman Tun Mahathir Mohamad.
 
1. Selama ini kita selalu menyebut Smart namun tahukah anda nama penuhnya. Smart merupakan singkatan kepada Stormwater Management And Road Tunnel atau dalam Bahasa Melayu adalah Pengurusan Air Banjir dan Terowong Jalan.
 
2. Objektif pembinaan terowong tersebut bagi menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur dan mengurangkan kesesakan lalu lintas sepanjang Jalan Sungai Besi dan jejambat Loke Yew di Pudu.
 
3. Terowong itu didatangkan dengan dua bahagian iaitu laluan air banjir dan laluan kenderaan bahkan ia merupakan terowong pelbagai guna terpanjang di Asia Tenggara dan merupakan terowong dua fungsi pertama di dunia. 
 
 
4. Terowong itu sepanjang 9.7km dan 3km daripadanya adalah laluan yang digunakan kenderaan ringan dan kenderaan berat tidak dibenarkan menggunakan Smart. 
 
5. Pembangunan terowong itu bermula pada Januari 2003 dan mengambil masa empat tahun (2007) untuk disiapkan. Cabaran besar pembinaan terowong berkenaan adalah kedudukannya yang berada 20 meter di bawah bandar utama Kuala Lumpur. 
 
6. Rekaan terowong adalah baharu buat Malaysia dan risiko projek tersebut juga besar, solusinya adalah mendapatkan khidmat veteran Hungary yang merupakan pakar terowong iaitu Gusztav Klados.
 
 
7. Klados merupakan individu yang pernah terlibat dalam projek gerudi bawah tanah terbesar di dunia termasuklah pembinaan terowong yang menghubungkan Britain dan Perancis. Namun dia sendiri mengakui pembinaan Terowong Smart paling mencabar. 
 
8. Januari 2004 mesin mega pertama tiba dan memerlukan masa tiga bulan untuk pemasangan di lokasi projek dengan panjang shaft 140 meter. 
 
9. Bagi menempatkan laluan air banjir dan kenderaan dua tingkat, Smart perlu memiliki lebar 13 meter dan cara pantas untuk membuat lubang sebesar itu adalah menggunakan mesin boring (gerudi) terowong (TMB).
 
 
10. Gerudi mega itu dikustom dari Jerman dengan panjang 71 meter iaitu lebih panjang daripada Boeing 474 dan beratnya 2,200 tan. Ketika itu, mesin terpanjang dunia itu menggerudi dan memasang konkrit pada masa sama.
 
Kemudian pada Mei 2004 mesin kedua tiba dan mempercepatkan proses menggali walaupun pelbagai cabaran dihadapi pasukan. 
 

11. Terowong Smart dioperasikan mengikut empat mod:



  • Mod pertama: Terowong digunakan sebagai laluan trafik terutamanya bagi mengelakkan kesesakan di Jalan Sungai Besi dan Jalan Loke Yew Flyover serta sekitar Jalan Tun Razak.
  • Mod kedua: Jika hujan lebat yang sederhana, operasi untuk trafik masih diteruskan, manakala air limpahan di bandaraya Kuala Lumpur disalurkan di saluran ketiga (bawah sekali) untuk disalurkan ke kolam tadahan terlebih dahulu sebelum dialir ke Sungai Kerayong.
  • Mod ketiga: Apabila hujan lebat dengan membawa banjir besar, terowong ditutup kepada laluan trafik. Pintu air akan dibuka untuk memasuki saluran trafik. Terowong jalan akan dibuka semula kepada lalu lintas dalam masa 2-8 jam selepas penutupan.
  • Mod keempat: Diaktifkan jika hujan lebat berlarutan, biasanya akan disahkan 1-2 jam selepas mod 3 diisytiharkan. Terowong jalan akan digunakan untuk laluan banjir selepas pemindahan trafik selesai. Hanya 10 m3/s dibenarkan mengalir ke hilir dan terowong jalan akan dibuka semula dalam tempoh 4 hari selepas penutupan.

12. Kejadian banjir Sabtu lalu, pertama kali proses lencongan Smart dijalankan melebihi tiga jam sejak dibina 2007. Selain itu, sejak dibina Pusat Kawalan Smart JPS hanya lapan kali menggunakan mod 4 yang mana mengambil masa kurang dari 3 jam operasi lencongan. Namun, operasi mod 4 pada banjir Sabtu lalu berlangsung selama 22 jam.

13. Bagi mengelak tragedi tidak diingini keselamatan adalah kunci utama rekaan Terowong Smart.

  • Setiap kilometer ada lubang pengudaraan yang disalurkan ke arah jalan bandar di bahagian atas dan alat pengaliran udara agar udara yang terperangkap sentiasa diganti dan pemeliharaan kualiti udara
  • Laluan bersilang di antara dek bagi laluan kecemasan di setiap 250m
  • Lampu keselamatan kalis air terutamanya ketika banjir
  • Rondaan 24 jam dan kamera litar tertutup (CCTV) akan dikawal dari Pusat Kawalan Smart
  • Kemudahan penting lain yang boleh didapati termasuk alatan mencegah kebakaran, alatan perubatan dan telefon kecemasan 

14. Smart yang bernilai RM1.93 bilion merupakan projek yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan diuruskan syarikat usahasama antara MMC Berhad dan Gamuda Berhad.

VIDEO

 
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here