
Jumlah penumpang kereta api laju Whoosh meningkat 6.3 peratus kepada 5.1 juta antara Januari dan Oktober 2025 berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut PT Kereta Cepat Indonesia-China (KCIC).
Sejak memulakan operasi komersial pada Oktober 2023, sistem kereta api laju pertama di Asia Tenggara itu telah membawa lebih 12.2 juta penumpang.
“Kenaikan jumlah penumpang menunjukkan bahawa orang ramai semakin bergantung kepada kereta api laju Whoosh sebagai cara perjalanan yang pantas dan boleh dipercayai antara Jakarta dan Bandung,” kata Setiausaha Korporat KCIC, Eva Chairunisa dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pertumbuhan itu disokong oleh 62 perkhidmatan harian dan pembukaan Stesen Karawang, yang menawarkan lebih banyak pilihan berlepas serta mempertingkatkan sambungan antara wilayah.
Kereta api laju Whoosh, yang dibina dengan kos kira-kira USD7.3 bilion, merentasi laluan sejauh 142km dalam tempoh kira-kira 40 minit, dengan kelajuan mencecah sehingga 350kmj antara Halim di Jakarta Timur dan Tegalluar di Bandung, Jawa Barat.
 
		 
			