
Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre, mengukuhkan kedudukannya sebagai pameran automotif antarabangsa paling berprestij di Malaysia.
Memasuki edisi ke-11, KLIMS 2026 bertemakan Beyond Mobility, mengetengahkan aspirasi industri automotif yang kini bergerak melangkaui fungsi pengangkutan semata-mata kepada ekosistem mobiliti yang lebih pintar, lestari dan berhubung.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, yang menekankan kepentingan KLIMS 2026 sebagai medium penglibatan strategik dalam memperkasa agenda mobiliti hijau negara.
Beliau menjelaskan, acara seperti itu memainkan peranan besar dalam meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan kenderaan elektrik (EV), usaha mengurangkan pelepasan karbon serta mempercepatkan peralihan ke arah sistem pengangkutan lebih bersih dan cekap.
Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, serta Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Hairil Yahri Yaacob.
Kehadiran pemimpin-pemimpin utama ini menggambarkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong transformasi industri automotif negara selaras dengan agenda pembangunan mampan Malaysia.

Hasbi dalam ucapannya berkata, dunia kini sedang menyaksikan perubahan pesat dalam aspek elektrifikasi, teknologi berhubung, sistem pengangkutan pintar, automasi, keselamatan jalan raya serta pembangunan penyelesaian tenaga alternatif.
“Perubahan ini bukan sahaja mempengaruhi reka bentuk dan pembangunan kenderaan, malah turut membentuk cara bandar dirancang serta bagaimana infrastruktur dibina bagi memenuhi keperluan masyarakat masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menegaskan, keselamatan perlu menjadi teras utama dalam perancangan mobiliti masa depan.
Katanya, mobiliti baharu bukan sekadar perlu lebih bersih dan lebih pintar, tetapi juga perlu menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan jalan raya, melindungi pengguna jalan raya yang terdedah serta menggalakkan tingkah laku pemanduan yang lebih selamat.
Dengan kerjasama semua pihak, Malaysia diyakini mampu bergerak melangkaui konsep mobiliti konvensional menuju masa depan yang lebih mampan dan selamat.
Sementara itu, Presiden Malaysian Automotive Association merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KLIMS 2026, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, industri mobiliti kini mengalami transformasi yang sangat ketara.
“Jika suatu ketika dahulu mobiliti hanya dilihat sebagai kaedah untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, hari ini ia menjadi cerminan bagaimana sesebuah bandar berfungsi serta bagaimana teknologi dapat menghubungkan masyarakat melalui penyelesaian yang lebih pintar dan efisien,” jelasnya.
Beliau berkata, tema Beyond Mobility yang digunakan pada penganjuran kali ini melambangkan evolusi industri automotif daripada pengangkutan tradisional kepada sebuah ekosistem yang lebih menyeluruh, merangkumi penyelesaian mobiliti pintar yang memberi impak kepada kehidupan harian masyarakat.




























