
Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa berkata Presiden Prabowo Subianto masih belum meluluskan penggunaan dana negara untuk melunaskan sepenuhnya hutang projek kereta api berkelajuan tinggi Whoosh, sekali gus menafikan spekulasi baru-baru ini.
Purbaya menyatakan kerajaan belum membuat keputusan muktamad mengenai cara penyelesaian baki pinjaman kira-kira USD7 bilion (RM31 bilion) dari China untuk laluan kereta api Jakarta–Bandung itu.
Awal bulan ini, Setiausaha Negara Prasetyo Hadi memberi bayangan bahawa hutang tersebut mungkin ditanggung sepenuhnya oleh belanjawan negara.
“Saya masih menunggu panduan, dan setakat ini belum ada arahan khusus daripada Presiden,” kata Purbaya kepada pemberita di parlimen.

Beliau menambah bahawa idea menggunakan dana negara tersebut berasal daripada Ketua Pegawai Eksekutif Danantara, Rosan Roeslani dan belum lagi mencerminkan kedudukan rasmi kerajaan.
“Jika ada arahan presiden, saya akan bertindak segera — tetapi setakat ini belum ada.
“Seingat saya, rancangannya masih 50-50. Saya akan membincangkannya semula,” ujarnya.
Ketua Pegawai Operasi Danantara, Dony Oskaria berkata minggu lalu bahawa perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi Whoosh sudah pun mampu menampung kos operasinya sendiri.
“Projek ini juga memberikan impak ekonomi. Dari segi operasi, ia boleh mampan. Isunya ialah pelaburan ekuiti awal kita terlalu kecil, yang memaksa pinjaman besar dibuat semasa fasa pembinaan,” kata Dony.
Laluan Whoosh menghubungkan Jakarta dan Bandung dan mula beroperasi secara komersial pada akhir tahun 2023.
ARTIKEL BERKAITAN
Danantara ajak Menteri Kewangan ke China ‘nego’ hutang Whoosh




























