Utama Berita Automotif Bina Puri jual kepentingan Lebuhraya LATAR, RM77 juta

Bina Puri jual kepentingan Lebuhraya LATAR, RM77 juta

199

Bina Puri Holdings Bhd (Bina Puri) memeterai perjanjian jual beli saham (SSPA) bersyarat dengan Arena Irama Sdn Bhd untuk cadangan pelupusan keseluruhan 50 peratus kepentingan ekuitinya dalam KL-Kuala Selangor Expressway Sdn Bhd (KLKSE), pemegang konsesi Lebuhraya LATAR pada harga RM77 juta.

KLKSE, syarikat bersekutu milik 50 peratus Bina Puri adalah syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan untuk melaksanakan Projek Lebuhraya LATAR, projek konsesi yang dianugerahkan oleh Kerajaan Malaysia kepada KLKSE pada 10 November 1997.

Cadangan pelupusan itu dijangka akan menghasilkan keuntungan pro forma sekali saja atas pelupusan kira-kira RM74.9 juta. Kos pelaburan asal oleh Bina Puri untuk KLKSE adalah sebanyak RM30 juta.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Puri, Marcus Goh Kee Lun, berkata memandangkan kedudukan liabiliti bersih semasa dan tahap hutangnya yang tinggi, KLKSE mungkin memerlukan tempoh matang yang panjang untuk menjana lebihan pendapatan dan aliran tunai operasi untuk pengagihan kepada pemegang sahamnya.

Oleh itu, beliau berkata cadangan pelupusan itu adalah peluang tepat pada masanya bagi Kumpulan Bina Puri untuk merealisasikan keseluruhan nilai pelaburannya dalam KLKSE, yang membolehkan kumpulan mencapai anggaran keuntungan pelupusan kira-kira RM74.9 juta.

“Pada masa sama, Bina Puri sedang berurusan dengan pemberi pinjaman dan pemiutangnya untuk merundingkan terma cadangan skim perkiraan.

“Kami menyasarkan untuk menyelesaikan perkara ini menjelang suku pertama 2026, di mana kumpulan akan menjadi lebih kukuh dan berada pada kedudukan kewangan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Lebuhraya LATAR adalah Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor E25 di Selangor, lebuh raya dua hala sepanjang 33km dan membentuk sebahagian daripada Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR).

Selepas selesainya cadangan pelupusan itu, KLKSE tidak lagi menjadi syarikat bersekutu Bina Puri, dan akan dimiliki 100 peratus oleh Arena Irama.

Pertimbangan pelupusan itu dipersetujui berdasarkan dasar kerelaan pembeli-penjual antara Bina Puri dan Arena Irama.

Deloitte Malaysia telah dilantik sebagai penilai perniagaan bebas untuk menilai nilai pasaran KLKSE.

Anggaran nilai pasaran KLKSE yang dinilai oleh Deloitte Malaysia adalah antara RM152.6 juta hingga RM221.8 juta (berdasarkan 100 peratus kepentingan ekuiti).

Tarikh penilaian yang diguna pakai adalah pada 31 Disember 2025.

Memandangkan jualan saham mewakili 50 peratus kepentingan ekuiti KLKSE, bahagian kadar 50 peratus nilai pasaran yang dinilai adalah antara RM76.3 juta hingga RM110.9 juta.

Bina Puri berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya hasil itu untuk pembayaran balik sebahagian kemudahan perdagangan dan kredit pusingan dengan Alliance Bank Bhd.

Jumlah tertunggak bagi kemudahan ini setakat 30 Januari 2026 adalah sebanyak RM109.36 juta.

 
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here