
Polestar merancang empat buah model EV baharu yang bakal dilancarkan sebelum tahun 2028.
Salah satunya ialah model wagon Polestar 4, diikuti generasi baharu Polestar 2, grand tourer Polestar 5 dan SUV kompak Polestar 7.
Polestar 4 Wagon
Tidak dinafikan, model Polestar yang paling laris terjual pada ketika ini ialah Polestar 4.
Versi wagon dijangka menyusul pada suku keempat (Q4) 2026 dengan garis bumbung yang lebih panjang, rel bumbung serta kaca tingkap belakang yang sebenar.
Menurut CEO-nya Michael Lohcheller, versi baharu ini menggabungkan ruang sebuah wagon, fleksibiliti sebuah SUV dan prestasi dinamik Polestar.
Generasi kedua Polestar 2
Generasi baharu Polestar 2 dijangka tiba awal tahun 2027 selepas produksi bagi generasi pertama berakhir kelak.
Berdasarkan imej teaser yang dibekalkan, Polestar 2 akan meninggalkan gaya crossover ringan dan beralih kepada bentuk yang lebih rendah, persis sebuah sedan sport yang matang.
Polestar 7
Tidak banyak info yang didedahkan untuk Polestar 7, namun pengeluar itu menyasarkan pelancarannya pada tahun 2028 di dalam segmen EV yang paling besar di Eropah.
Model ini akan dibina di Slovakia dan berkongsi platform dengan model Volvo sedia ada.
Polestar 5
Polestar 5 pula merupakan sebuah grand tourer yang turut disifatkan sebagai model halo untuk jenama itu.
Ia menggunakan platform aluminium bonded ringan, dan dalam versi Performance hadir dengan dua motor elektrik menghasilkan kuasas sehingga 872 hp.


































