
Wang tunai lebih GBP400,000 (lebih RM1.9 juta) dilarikan dalam satu rompakan nekad yang menyasarkan kenderaan membawa wang tunai di lebuh raya Itali semalam, lapor Agensi Berita Jerman.
Pihak berkuasa berkata perompak menghentikan aliran trafik dengan menyekat jalan menggunakan beberapa kenderaan sebelum melancarkan serangan pantas ke atas van berkenaan.
Mereka turut menggunakan bom asap, menabur paku bagi memecahkan tayar kenderaan lain, serta melepaskan tembakan ke arah kenderaan perisai itu.

Ketika pemandu dan pengawal masih berada dalam kenderaan, penyerang menggunakan bahan letupan untuk membuka van dan peti simpanannya, menurut agensi berita Itali ANSA. Mereka kemudian melarikan diri bersama wang tunai berkenaan.
Rompakan itu berlaku pada awal pagi di sebuah lebuh raya berhampiran Ortona, di wilayah Abruzzo, tengah Itali.
Siasatan awal mendapati tiada kecederaan serius dilaporkan, namun dua individu menerima rawatan di lokasi kejadian akibat terhidu asap. Bahagian lebuh raya yang terjejas ditutup sementara, menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Polis melancarkan operasi memburu secara besar-besaran, namun bilangan suspek terbabit masih belum dikenal pasti. Mereka dipercayai melarikan diri menggunakan kenderaan berkuasa tinggi, menurut ANSA.




























