Utama Berita Automotif LPB : Bayaran pampasan tanah RM1.2 bilion, Sabah Fasa 1

LPB : Bayaran pampasan tanah RM1.2 bilion, Sabah Fasa 1

9

Sebanyak RM1.2 bilion telah dibayar oleh Kerajaan Persekutuan bagi pampasan tanah Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1 setakat ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata bagi LPB Sarawak pula, jumlah keseluruhan bayaran pampasan tanah yang telah dibuat adalah sebanyak RM737 juta.

“Kerajaan menanggung keseluruhan kos pampasan, kerugian dan kos pentadbiran bagi memastikan pemilik tanah tidak mengalami kerugian,” katanya.

Menurut Ahmad, demikian ketika menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (WARISAN-Kota Belud) mengenai justifikasi lonjakan kos Projek LPB Sabah Fasa 1 yang kini mencecah RM24.889 bilion berbanding anggaran awal 2015 serta jumlah pampasan tanah pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad berkata peningkatan kos daripada anggaran awal RM12.86 bilion pada 2015 kepada RM24.889 bilion pada masa ini adalah disebabkan projek bertukar kepada kaedah Kontraktor Konvensional Persekutuan susulan penamatan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) pada 2019.

Beliau berkata penamatan model PDP atas faktor kepentingan negara itu memerlukan penilaian semula terhadap baki kerja dan skop projek selepas lima tahun daripada tempoh penilaian asal.

“Dari sudut teknikal, peningkatan kos projek ini antara lain disebabkan oleh faktor perubahan skop dan reka bentuk, struktur geoteknikal dan rawatan tanah serta kerja-kerja pengalihan utiliti berskala besar,” katanya.

Beliau berkata kos Fasa 1A melibatkan 16 pakej kerja dengan kos keseluruhan berjumlah RM10.9 bilion manakala Fasa 1B pula melibatkan 19 pakej kerja dengan jumlah kos sebanyak RM13.989 bilion.

Ahmad berkata selain faktor teknikal peningkatan kos turut dipengaruhi oleh inflasi dan kenaikan harga bahan binaan utama industri domestik serta global seperti besi, bitumen dan simen, di samping kenaikan kos jentera dan kos buruh.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here