
Pembangunan lebuh raya bertingkat serta penggunaan teknologi pintar menjadi antara pendekatan utama Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dalam menangani kesesakan trafik yang semakin meningkat, khususnya di kawasan bandar.
Ketua Pengarah LLM Mohd Hadzmir Yusoff berkata keperluan membangunkan lebuh raya baharu dan penggunaan teknologi seumpama itu jelas berikutan peningkatan jumlah kenderaan serta penggunaan lebuh raya yang kini mencecah antara 5.5 juta hingga enam juta sehari.
“Pada masa ini, di bawah Kerajaan MADANI, kita komited untuk membangunkan rangkaian lebuh raya bertol di Malaysia kerana keperluannya memang jelas, khususnya apabila banyak kawasan dan bandar kini berdepan kesesakan trafik.
“Dalam masa sama, kita juga melihat peningkatan jumlah trafik yang agak tinggi. Untuk makluman, berdasarkan pemantauan harian, lebih 5.5 juta hingga enam juta kenderaan menggunakan lebuh raya kita setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk Keperluan dan Cabaran Pembinaan Lebuh Raya di Dalam Bandar terbitan Bernama TV malam tadi. Turut menjadi tetamu pada program itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Tol IJM Corporation Bhd Chua Lay Hoon.
Beliau berkata LLM turut memberikan penekanan kepada kesinambungan pembinaan rangkaian lebuh raya serta memastikan setiap projek memenuhi standard teknikal dan keselamatan yang ditetapkan daripada peringkat perancangan sehingga operasi.
Projek RM1.7 Bilion NPE2 Janji Aliran Trafik Lebih Lancar!

Mengulas projek sambungan Lebuhraya Pantai Baharu 2 (NPE2), beliau berkata pemantauan mendapati lebih 200,000 kenderaan menggunakan NPE setiap hari dan kapasiti lebuh raya itu tidak lagi mencukupi untuk menampung keperluan pengguna yang kian meningkat.
“Dengan tiga lorong sedia ada, kapasiti tidak mencukupi dan tahap perkhidmatan berada pada tahap E, iaitu agak sesak. Oleh sebab itu, kita akan menambah lagi dua lorong secara bertingkat, menjadikan keseluruhan lima lorong,” katanya.
Beliau berkata cabaran utama pembinaan lebuh raya di bandar ialah kekangan tanah, kos pengambilan yang tinggi serta utiliti bawah tanah. Justeru, pendekatan reka bentuk tidak konvensional dan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) digunakan bagi mengurangkan gangguan.
“Di tapak pembinaan, kita akan memasang Kamera Litar Tertutup (CCTV) bagi memantau kerja-kerja yang dijalankan secara langsung (live) dan membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku sebarang insiden. Dengan penggunaan teknologi ini, kita dapat meningkatkan tahap keselamatan sepanjang tempoh pembinaan,” katanya.
Beliau berkata LLM turut mengorak langkah ke arah pembangunan lebuh raya pintar dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan kemalangan dan pelanggaran peraturan trafik secara automatik.
Sementara itu, Chua berkata projek sambungan NPE2 penting bagi menampung pertambahan trafik serta menyokong pembangunan bandar.
“Projek ini akan menyediakan laluan alternatif bagi pengguna lebuh raya yang merentasi kawasan selatan Kuala Lumpur serta memberikan akses yang lebih lancar ke pusat bandar,” katanya.
Beliau berkata projek itu dijangka menyuraikan kira-kira 40 peratus trafik daripada memasuki pusat bandar dengan tidak melalui Jalan Bangsar serta menjimatkan masa perjalanan hingga 20 minit.
Projek bernilai RM1.7 bilion itu dilaksanakan menerusi model penswastaan Build-Operate-Transfer (BOT) tanpa melibatkan peruntukan kerajaan.
Chua berkata projek itu juga akan dilengkapi teknologi lebuh raya pintar termasuk sistem pemantauan trafik bersepadu, kamera pintar serta kemudahan sokongan seperti kawasan rehat dan pengecas kenderaan elektrik.
































